SOOK, 18 Julai (Bernama) -- Banci Pertanian 2024 merekodkan sebanyak 159,259 pegangan pertanian di Sabah yang merupakan tertinggi di Malaysia, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata zon pedalaman Sabah melibatkan daerah Keningau, Sook, Nabawan, Tambunan dan Tenom mewakili 26 peratus daripada pegangan pertanian di negeri ini yang merujuk kepada jumlah individu atau pertubuhan yang terlibat dalam sektor pertanian.
“Nilai berkenaan dijangka terus meningkat berdasarkan potensi keluasan tanah pertanian yang masih belum dibangunkan di pedalaman,” katanya ketika berucap merasmikan Road to Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 Siri 2 di sini hari ini.
Arthur berkata ekoran daripada perkembangan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui pelbagai agensi di bawahnya telah mempergiatkan usaha untuk merancakkan sektor pertanian di pedalaman.
“Usaha itu termasuklah penubuhan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sook, mewujudkan kilang kopi di Sapulut, Nabawan, pemulihan sawah padi di Tulid dan tanaman keladi cina serta bawang di Sook. Kita juga berusaha membawa tanaman yang mempunyai potensi pemasaran tinggi seperti nanas MD2,” katanya.
Arthur berkata Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri komited untuk memperkasakan sektor pertanian melalui perancangan dasar, program sokongan teknikal dan pelaburan infrastruktur luar bandar supaya produktiviti sektor agromakanan dapat terus dipertingkatkan.
“Sebagai agensi peneraju perkhidmatan pemasaran agromakanan negara, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memainkan peranan memperkukuh rantaian keterjaminan agromakanan dengan memberi tumpuan kepada aksesibiliti dan kemampuan pengguna, ketersediaan bekalan serta kestabilan dan kemampanan kepenggunaan,” katanya.
Beliau berkata FAMA Sabah diperuntukkan RM13.8 juta pada tahun lepas bagi pelaksanaan 313 projek dan program yang memberi manfaat kepada lebih 29,000 usahawan serta menyumbang kepada nilai jualan berjumlah RM83 juta.
“Dengan adanya projek naik taraf pasar tamu, pengukuhan rangkaian outlet peruncitan serta penglibatan strategik dengan petani dan pengusaha di peringkat akar umbi, FAMA yakin Sabah mampu menjadi antara tonggak penting kepada agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.
Mengulas mengenai program Road to HPPNK 2025, beliau berkata ia merupakan platform untuk menghargai sumbangan dan peranan golongan peladang, penternak dan nelayan dalam pembangunan sektor agromakanan negara.
“Road to HPPNK di Sook adalah siri terakhir sebelum HPPNK 2025 Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos di Kota Kinabalu.
“Tahun ini cukup istimewa kerana kita meraikan 50 tahun sambutan HPPNK. Lebih istimewa apabila sambutan HPPNK Peringkat Kebangsaan dianjurkan di negeri ini selepas kali terakhir Sabah menjadi tuan rumah pada 1995,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial