Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kapal Piano Land Berlabuh Secara Tetap Di PKCT, Lonjak Pelancongan Selangor

18/07/2025 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Sektor pelancongan Selangor dijangka menerima suntikan baharu apabila kapal persiaran mewah dari China,  Piano Land, bakal menjadikan Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) sebagai pelabuhan tetap atau home port bermula suku keempat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata langkah itu akan merancakkan ketibaan pelancong antarabangsa secara langsung ke negeri berkenaan, sekali gus membuka potensi baharu dalam segmen pelancongan maritim.

Menurut beliau, kapal Piano Land mempunyai kapasiti sekitar 2,000 penumpang dan pemilihan PKCT sebagai pelabuhan tetap menunjukkan bahawa fasiliti di terminal tersebut menepati piawaian serta mampu bersaing dalam segmen pelancongan kapal persiaran yang semakin berkembang.

“Ini merupakan peluang besar kepada industri pelancongan negeri kerana ia dijangka memberi impak positif kepada ekonomi setempat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Surprising Selangor Media & Influencer Hi-Tea 2025 di sini hari ini.

Chua berkata pihaknya juga merancang memperkenalkan pakej pelancongan eksklusif yang membolehkan pelancong dari kapal persiaran dibawa terus ke Pulau Ketam tanpa sebarang transit.

“Ketika ini, pelancong perlu menaiki teksi ke Jeti Terminal South Port sebelum menyambung perjalanan menaiki bot ke Pulau Ketam. Dengan laluan terus dari PKCT, mereka boleh menikmati pengalaman unik menyusuri hutan paya bakau, melihat helang dan melawat kelong sebaik tiba.

Menurut Chua, langkah itu turut disokong dengan pembangunan pakej pelancongan jangka masa pendek sekitar Klang dan Shah Alam, bersesuaian dengan tempoh persinggahan kapal persiaran, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan maritim negeri.

Dalam pada itu, bersempena sambutan kemuncak Tahun Melawat Selangor 2025, Tourism Selangor akan menganjurkan Selangor Travel Fair 2025 pada 26 dan 27 Julai ini bertempat di Central Market, Kuala Lumpur.

Penganjuran tersebut menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung tempatan dengan penyertaan lebih 30 pempamer termasuk Farm Fresh, Selangor Fruit Valley, GL Play, Tourism Malaysia dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata kerajaan negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong ke Selangor tahun ini, dengan anggaran resit pelancongan berjumlah RM11.2 bilion.

“Setakat Mac 2025, seramai 1.77 juta pelawat direkodkan dengan 72 peratus daripadanya merupakan pelancong domestik, manakala selebihnya dari negara seperti China, Singapura, Indonesia, Jepun dan India.

“Malah, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah pelawat domestik tertinggi di negara ini untuk empat tahun berturut-turut dengan 34.5 juta pelawat direkodkan sepanjang tahun lalu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan