Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jelajah Komuniti Digital Perkasa Komuniti Belaga Menerusi Teknologi

17/07/2025 09:04 PM

BELAGA, 17 Julai (Bernama) -- Kementerian Digital terus mempergiat usaha merapatkan jurang digital menerusi program Jelajah Komuniti Digital yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Belaga di sini.

Program bermatlamat meningkatkan literasi dan kesedaran digital dalam kalangan komuniti luar bandar itu adalah kerjasama strategik antara kementerian berkenaan dan agensi di bawahnya termasuk Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), MYNIC Berhad serta rakan teknologi utama, Alibaba Cloud.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong ketika merasmikan program itu berkata kementeriannya komited untuk memastikan pembangunan digital yang terangkum di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti Belaga.

“Kementerian Digital akan meneruskan usaha bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir. Kami menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk menerapkan pemikiran Digital-First sebagai asas kepada ekonomi digital yang mampan,” katanya.

Program berkenaan menampilkan sesi yang menumpukan kepada pendidikan digital, perlindungan data peribadi, pengurusan identiti digital serta pendedahan awal terhadap kecerdasan buatan (AI).

Ia bertujuan melengkapkan pelajar, guru, ketua komuniti dan penjawat awam dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan supaya mereka dapat berperanan lebih cekap dalam era digital.

Penglibatan Alibaba Cloud pula menambah nilai program terbabit dengan pengalaman pembelajaran interaktif berkaitan teknologi awan dan AI, sekali gus menonjolkan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam mencapai matlamat transformasi digital Malaysia.

Lebih 300 pelajar, 40 ketua komuniti serta wakil daripada pelbagai agensi kerajaan di Belaga menghadiri program itu.

Peserta turut berpeluang berinteraksi dengan Ugak menerusi sesi dialog santai serta menyertai aktiviti berasaskan teknologi.

Inisiatif Jelajah Komuniti Digital mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan akses digital menjadi hak bersama semua rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi, di samping mengukuhkan aspirasi negara untuk menjadi ekonomi digital yang inklusif dan berdaya saing.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan