Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perundangan E-dagang Tekankan Aspek Perlindungan Pengguna, Isu Algoritma Manipulatif

17/07/2025 05:57 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Aspek perlindungan pengguna merupakan satu daripada komponen penting yang diberi penekanan dalam kerangka perundangan e-dagang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata antara isu yang sedang diteliti ialah penggunaan sistem pembuat keputusan automatik (ADM) atau algoritma yang berpotensi mempunyai unsur manipulatif.

"Ini merupakan antara perkara penting yang sedang diberi perhatian dalam rangka perundangan e-dagang," katanya kepada media sempena sesi libat urus semakan semula perundangan e-dagang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kerisauan isu 'Beli Dahulu, Bayar Kemudian' (BNPL) memandangkan ramai pelajar pengajian tinggi terjebak dengan kemudahan itu sehingga dibebani hutang.

Sementara itu, Armizan berkata beliau mengambil maklum kegusaran pengguna mengenai tindakan platform e-dagang yang menaikkan yuran.

Beliau menjelaskan tindakan berkenaan merupakan satu keputusan perniagaan oleh platform terbabit dan kementeriannya tidak mempunyai kuasa kawal selia secara langsung terhadap perkara itu.

"Terdapat beberapa platform yang membuat keputusan berkaitan caj dan yuran bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain.

"Namun, pada pandangan saya, keputusan itu tidak kena pada masanya kerana ada antara platform tersebut yang baru sahaja membuat semakan yuran, termasuk semakan berkaitan yuran komisen pada Ogos tahun lepas," katanya.

Beliau berkata usaha untuk menyekat sepenuhnya keputusan platform mungkin tidak realistik namun KPDN sedang mempertimbangkan satu mekanisme yang membolehkan sekurang-kurangnya platform terlibat berunding terlebih dahulu dengan KPDN atau agensi berkaitan sebelum membuat semakan semula caj dan yuran yang dikenakan ke atas pengguna atau penjual.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan