KUANTAN, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas sebuah tangki skid dan 17,000 liter diesel dianggarkan bernilai lebih RM53,000 kerana disyaki disimpan tanpa permit di sebuah lokasi di Indera Mahkota 8, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Pahang Mohd Hafiz Ramli berkata enam anggota penguat kuasa terlibat dalam Ops Tiris yang bermula 9.30 pagi itu setelah risikan dijalankan pihaknya selama sebulan berhubung kegiatan tersebut.
"Berdasarkan dokumen yang dikemukakan, premis ini tidak mempunyai permit menyimpan minyak diesel di lokasi tersebut sekali gus menimbulkan syak wujudnya pelanggaran undang- undang," katanya kepada pemberita di lokasi rampasan terbabit di sini hari ini.
Mohd Hafiz berkata pihaknya turut menahan empat warga Bangladesh dan dua warga Myanmar berumur lingkungan 20 hingga 29 tahun yang bekerja di lokasi berkenaan dipercayai berperanan sebagai penghantar diesel tersebut ke menara telekomunikasi.
"Daripada maklumat yang diperoleh, mereka telah beroperasi di kawasan ini lebih setahun bagi menghantar diesel untuk kegunaan genset di 33 menara telekomunikasi sekitar daerah ini," katanya.
Turut dirampas dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa muatan tong berisi minyak diesel dipercayai untuk tujuan penyimpanan dan penghantaran yang dianggarkan bernilai RM140,000 selain dokumen berkaitan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menyimpan barang kawalan minyak diesel selain di tempat yang dilesenkan dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengalih barang kawalan dari lokasi berlesen ke lokasi tidak berlesen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial