Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bomba Kedah Nasihat Penduduk Pesisir Pantai Waspada

13/07/2025 10:00 PM

SUNGAI PETANI, 13 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menasihatkan orang awam, khususnya penduduk di pesisir pantai berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan fenomena ombak besar di sekitar pantai Tanjung Dawai dekat sini ketika ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata aktiviti rekreasi air seperti mandi, memancing dan bermain air laut sebaiknya ditangguhkan buat sementara waktu.

"Elakkan berada di kawasan pantai, tebing atau batu hampar ketika air pasang atau ombak kuat.

"Saya juga berharap ibu bapa dapat mengawasi anak-anak mereka dan tidak membenarkan mereka bermain di kawasan berhampiran pantai," katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata peniaga serta penduduk di kawasan berhampiran juga perlu peka dengan keadaan semasa dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku limpahan air laut.

"Patuhi arahan dan panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Jika berlaku kecemasan, segera hubungi talian 999 atau laporkan ke balai bomba berhampiran," katanya.

Hari ini tular satu video di laman sosial Facebook yang memaparkan kejadian ombak besar di Kampung Huma di Tanjung Dawai.

Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet yang menyuarakan kebimbangan memandangkan ia berlaku hampir dengan kediaman penduduk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan