KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan laluan khas kepada lulusan baharu Kolej Komuniti untuk melanjutkan pengajian ke peringkat politeknik dan universiti dalam bidang teknikal.
Menteri berkenaan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata ia bagi menyediakan laluan kerjaya lebih baik kepada lulusan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas menamatkan pengajian di Kolej Komuniti.
"Kalau dulu mungkin mereka terpaksa memohon masuk hanya ke universiti teknikal tetapi hari ini kita mempunyai ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi (di universiti dan politeknik lain) berdasarkan kelulusan, kelayakan dan kursus yang mereka ikuti," katanya.
Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa Tahun 2025 di sini hari ini.
KPT juga memperkenalkan dasar baharu untuk melihat semula keberkesanan Kolej Komuniti dalam melatih tenaga mahir tempatan dengan memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata KPT juga sedang menilai keperluan untuk mewujudkan Kolej Komuniti di kawasan bandar.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa Datuk Seri Dr Izudin Ishak dalam ucapan aluan memohon supaya institusi pendidikan diwujudkan di kawasan Setiawangsa, sekurang-kurangnya sebuah Kolej Komuniti untuk menjadi pemangkin pembangunan modal insan, khususnya untuk golongan belia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial