Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Fadillah: AI Bukan Pilihan Tetapi Keperluan Untuk Bina Komuniti

12/07/2025 07:31 PM

KUCHING, 12 Julai (Bernama) -- Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan dalam membina komuniti yang lebih maju, inklusif dan berdaya saing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata dalam dunia yang semakin dipacu oleh transformasi digital, usaha meningkatkan kemahiran dalam teknologi tersebut adalah tanggungjawab bersama untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.

“Belajar tidak pernah mengenal usia. Selagi kita masih berdaya, menuntut ilmu adalah satu usaha murni.

"Dalam dunia yang sentiasa berubah, menjadi tanggungjawab kita untuk terus meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan arus transformasi digital,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Fadillah mengadakan sesi lawatan Kursus ‘AI for MY Future’ kawasan Parlimen Petra Jaya di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Kuching.

Program yang menghimpunkan 150 peserta antaranya 51 pemimpin komuniti, 33 guru dan 24 usahawan itu bertujuan memberi pendedahan tentang penggunaan AI dalam pelbagai sektor, termasuk data analitik, penghasilan dokumen serta pengurusan dan pelaporan secara digital.

Beliau berkata antara aspek paling signifikan ialah penggunaan Microsoft Co-Pilot oleh ketua komuniti yang lazimnya melaksanakan tugasan tanpa sokongan pentadbiran yang mencukupi.

“Dengan penguasaan alat seperti Microsoft Co-Pilot, mereka kini mampu melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan profesional, termasuk penulisan laporan, penyediaan bahan komunikasi dan pengurusan data,” katanya.

Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan menyarankan supaya inisiatif sedemikian diteruskan dan diperluas ke kawasan lain.

“Pesan saya kepada semua peserta, dengan adanya pengetahuan dan kefahaman dalam AI serta transformasi digital, kita bukan sahaja berupaya mempertingkatkan keupayaan diri malah dapat membawa perubahan yang bermakna kepada masyarakat," kata hantaran itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan