KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Golongan belia berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan Komuniti ASEAN yang lebih inklusif dan berdaya tahan berteraskan nilai kemanusiaan menerusi penglibatan aktif mereka dalam kerja-kerja kesukarelawanan serta pembangunan komuniti.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ini kerana penglibatan belia dalam aktiviti serantau menerusi platform seperti Program Sukarelawan Belia ASEAN bukan sahaja mendedahkan mereka dengan kerja-kerja sukarelawan dan pembangunan komuniti malah turut dilatih menjadi ejen perubahan sosial.
“Harapan kita adalah untuk memberikan peluang dan melatih golongan belia agar mereka memperoleh pengalaman. Maka apabila satu hari nanti perkhidmatan mereka diperlukan, mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan.
“Anak muda kita mesti dilengkapi dengan keupayaan untuk bergerak dan digerakkan. Di ASEAN sahaja, kita mempunyai lebih daripada 220 juta belia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Sukarelawan Belia ASEAN 2025 di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr Nagulendran serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Azura Abidin.
Hannah berkata sekiranya kesemua belia ASEAN dilengkapi dengan kemahiran, ilmu dan sokongan yang diperlukan, mereka berupaya menjadikan rantau ini sebagai kuasa besar yang berpengaruh di peringkat global khususnya dalam aspek tenaga kerja muda dan pembangunan mampan.
“Kalau kita berjaya mencungkil bakat dalam kalangan 220 juta belia ini, ASEAN berpotensi melahirkan tenaga kerja muda yang berkemahiran serta berupaya menarik pelaburan ke rantau ini,” katanya.
Mengulas mengenai Forum Sukarelawan Belia ASEAN, beliau berkata menerusi program itu, para peserta akan dibawa ke Sabah dan Sarawak dari 13 hingga 19 Julai ini untuk menyertai pelbagai aktiviti termasuk latihan kepimpinan, projek komuniti dan jaringan serantau serta pertukaran silang budaya.
Forum itu, yang berlangsung hari ini, menghimpunkan ahli panel dan pemimpin muda ASEAN daripada pelbagai latar belakang, termasuk pembuat dasar dan wakil organisasi serantau.
Forum itu menampilkan perbincangan interaktif berteraskan empat tema utama iaitu Bridging Gaps: Youth Volunteerism for Inclusive Growth, Green Horizon: Youth Driving Environmental Change, Unity in Diversity: Building Social Harmony Through Youth Engagement dan Tech For Good: Harnessing Digital Tools for Community Empowerment.
Tema itu sejajar dengan agenda ASEAN dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial