Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

10 Instrumen Subsidiari Dikenal Pasti Bagi Mudahkan Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 - Teo

12/07/2025 11:59 AM

PETALING JAYA, 11 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti 10 instrumen subsidiari, merangkumi peraturan dan kod bagi memastikan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dilaksanakan dengan berkesan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. 

Teo berkata instrumen itu kini berada di pelbagai peringkat pembangunan dengan keutamaan diberikan berdasarkan keperluan untuk memastikan ia sejajar dengan objektif dan skop akta berkenaan.

Beliau berkata pembangunan peraturan tersebut bergantung kepada hasil Analisis Impak Peraturan (RIA) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), diikuti dengan kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“MCMC menjangkakan pembangunan instrumen subsidiari itu akan selesai antara suku keempat 2025 dan suku kedua 2026 bergantung kepada kerumitan dan tahap ketersediaan setiap instrumen tersebut,” katanya pada majlis Ulang Tahun The Malaysia Book of Records (MBR) ke-30 di sini malam ini. 

Turut hadir pada majlis itu bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Pengerusi MBR Datuk Seri Dr Michael Tio, Ketua Pegawai Eksekutif MBR Christopher Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali. 

Sementara itu, dalam ucapannya Teo memaklumkan bahawa MBR akan mengiktiraf satu lagi pencapaian peringkat kebangsaan menerusi buku mengenai pengantunan seksual (sexual grooming) kanak-kanak oleh Mohamed Nazri Prem Nasir pada 2 Ogos ini di Universiti Malaya.

Beliau berkata pengantunan seksual kanak-kanak merupakan satu daripada perkara utama yang ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024, undang-undang bersejarah yang bertujuan mewujudkan ruang digital lebih selamat terutama bagi golongan muda dan pengguna yang mudah terdedah ancaman siber. 

Teo turut memaklumkan mengenai penerbitan siri televisyen 13 episod terbaharu oleh MBR bertajuk “Malaysia Luar Biasa”yang dihasilkan dengan kerjasama Bernama, dengan menyatakan program itu akan menampilkan 30 hingga 40 rekod kebangsaan yang mengangkat kejayaan luar biasa rakyat Malaysia. 

“Menariknya, program ini akan ditayangkan buat pertama kali pada minggu sambutan Hari Kebangsaan, menjadikan ia lebih istimewa kerana kita bukan sahaja meraikan kemerdekaan negara tetapi juga semangat, daya tahan dan kecemerlangan rakyat Malaysia yang telah mencipta nama,” katanya.

“Ia satu peringatan yang tepat pada masa bahawa semangat patriotik boleh dizahirkan melalui pencapaian dan kehebatan boleh datang dari setiap pelosok negara,” katanya. 

Program tersebut akan ditayangkan secara rasmi pada 8.30 malam, 26 Ogos ini di Bernama TV (Astro 502).

Teo berkata pencapaian itu melakar satu lagi kejayaan membanggakan oleh Bernama, yang sebelum ini turut mencatat rekod dalam MBR bagi “Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama.”

Beliau menjelaskan bahawa Bernama TV, yang ketika itu dikenali sebagai Bernama News Channel (BNC), merupakan antara platform utama yang membuat siaran langsung itu tanpa henti selama 25 jam dalam empat bahasa, dari 16 hingga 17 Sept 2019 sempena sambutan Hari Malaysia.

Dalam pada itu, Teo turut memuji kejayaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) meraih Anugerah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) 2025 di Geneva awal minggu ini, menerusi Inisiatif Pulau Banggi dan Projek Pulau Ketam Stingray II.

Beliau berkata pada 30 Jun lepas, sejumlah 1,097 NADI telah berjaya diwujudkan daripada 1,099 yang dirancang di seluruh negara, dengan dua lagi pusat di Sabah ketika ini di peringkat akhir pelaksanaannya. 

“Pencapaian hampir lengkap ini adalah bukti komitmen kerajaan terhadap keterangkuman digital dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan