KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu menumpukan kepada keutamaan strategik sektor agromakanan serta memastikan pelaksanaannya di peringkat lapangan diterjemah dengan berkesan bagi menjamin kesejahteraan petani, peladang dan nelayan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi catatan di Facebook berkata perkara itu dibincangkan semasa kunjungan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Wisma Tani, Putrajaya hari ini.
Mohamad berkata RMK13 yang akan dibentangkan pada 30 Julai ini perlu berlandaskan nilai-nilai teras Malaysia MADANI iaitu Kesejahteraan, Ihsan dan Keberdayaan dengan memastikan setiap dasar intervensi benar-benar memberi perhatian dan manfaat kepada golongan yang menjadi tunjang sektor tersebut iaitu petani, peladang dan nelayan.
“RMK13 tidak boleh tinggal sebagai dokumen di atas kertas semata-mata dan ia mesti diterjemah ke lapangan. Mesti sampai kepada rakyat. Kita mahu lihat petani lebih berdaya saing, peladang lebih produktif, nelayan lebih terbela.
“Inilah wajah Pertanian MADANI yang kita impikan, pembangunan yang adil, saksama dan mampan tanpa ada sesiapa yang tertinggal di belakang,” katanya.
Mohamad berkata dengan kerjasama erat antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Kewangan, reformasi pertanian dapat dijayakan demi masa depan rakyat dan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial