Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Tuan Rumah Program Latihan Antarabangsa AARDO 2025 - Ahmad Zahid

10/07/2025 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia menjadi tuan rumah kepada Program Latihan Antarabangsa Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Asia-Afrika (AARDO) 2025, yang dijadual berlangsung di Langkawi, Kedah, bermula 15 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program yang berlangsung selama lapan hari itu akan disertai 20 pegawai kerajaan dari negara anggota AARDO yang dipilih berdasarkan saringan ketat AARDO dan Institut Kemajuan Desa (INFRA).

Beliau berkata objektif program itu adalah untuk meningkatkan pemahaman peserta antarabangsa tentang dasar pembangunan luar bandar Malaysia, khususnya strategi pembasmian kemiskinan dan memperkasakan kompetensi peserta dalam pelaksanaan projek pembangunan di negara masing-masing. 

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mempromosikan pendekatan pembangunan serantau yang inklusif dan mampan.

“Program ini bakal menjadi wadah penting bagi memperluas kerjasama strategik serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan pembangunan global,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sejak menjadi antara negara perintis AARDO pada 1962, Malaysia menerusi INFRA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah kekal aktif menyumbang dalam latihan dan pembangunan kapasiti.

“Saya berharap program ini akan menjadi jambatan ilmu dan pengalaman yang kukuh antara negara-negara Asia dan Afrika, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan pembangunan desa yang diyakini. Insya-Allah,” katanya.

Ditubuhkan pada 1962, AARDO bertindak sebagai platform untuk perbincangan bersama isu-isu  berkaitan pembangunan luar bandar dan pertanian di negara-negara Afrika dan Asia.

Bermula dengan hanya lima anggota pengasas, iaitu Mesir, India, Jepun, Libya dan Malaysia, pertubuhan itu kini mempunyai 33 anggota dengan 17 dari Afrika dan 14 dari Asia sebagai anggota penuh serta dua anggota bersekutu.

Malaysia sebelum ini pernah dilantik sebagai Presiden AARDO untuk tempoh 2018-2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan