Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kanada Optimis FTA Dengan ASEAN Dorong Pertumbuhan Ekonomi Yang Inklusif

10/07/2025 06:10 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kanada optimis bahawa rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Kanada yang sedang berlangsung, akan membuka peluang ekonomi lebih besar untuk kedua-dua rantau, disamping menyokong pertumbuhan yang inklusif dan berasaskan peraturan.

Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, FTA merupakan tonggak utama dalam penglibatan Kanada yang lebih meluas dengan Asia Tenggara, pada ketika negara itu berusaha memperdalam hubungan perdagangan, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan menyokong pembangunan mampan di seluruh Indo-Pasifik.

“Ia mencerminkan komitmen bersama untuk pembangunan inklusif, kepelbagaian ekonomi dan transformasi digital yang mampan.

“Perkongsian strategik kami yang telah berkembang daripada Perkongsian Dialog kepada Perkongsian Strategik yang kukuh selama 48 tahun, dibina atas kepercayaan bersama, nilai yang dikongsi dan komitmen terhadap multilateralisme,” menurut kenyataan itu.

Kanada turut mengalu-alukan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sambil menyatakan bahawa fokus Kepengerusian kepada keterangkuman dan kemampanan itu sejajar rapat dengan Strategi Indo-Pasifik Kanada sendiri.

“Strategi itu menyediakan rangka kerja yang jelas untuk membimbing kerjasama yang lebih mendalam merentasi esktor ekonomi, digital dan keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya Tinggi turut menekankan beberapa inisiatif kerjasama ASEAN-Kanada, termasuk Biasiswa SEED Kanada-ASEAN, Dana Amanah ASEAN-Kanada, Program pengurangan Ancaman Biologi dan Projek Wanita, Keamanan dan Keselamatan, yang kesemuanya bertujuan merapatkan jurang pembangunan dan memperkasakan komuniti di seluruh rantau ini.

“Inisiatif-inisiatif ini menunjukkan komitmen Kanada terhadap keutamaan ASEAN yang berteraskan rakyat, serta usaha memastikan manfaat yang nyata dan berkekalan bagi komuniti di kedua-dua rantau,” menurut kenyataan itu.

Dalam bidang digital, Suruhanjaya Tinggi itu menegaskan bahawa Kanada sedang berusaha untuk meningkatkan penglibatan melalui platform sektoral ASEAN seperti Mesyuarat Pegawai Kanan Digital ASEAN, yang menyokong inovasi, keupayaan siber dan pembangunan ekonomi digital.

Kenyataan itu turut memaklumkan mengenai Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry di Malaysia sebagai contoh penting kerjasama antara syarikat teknologi terkemuka Kanada dengan kerajaan Malaysia, yang bertujuan memperkukuh keselamatan digital dan keupayaan inovasi serantau.

Suruhanjaya Tinggi itu turut menekankan kepentingan kerjasama praktikal di sempadan dan kemudahan perdagangan, dengan merujuk kepada Simposium Pengurusan Sempadan CBSA, yang telah menyokong usaha serantau untuk meningkatkan integriti sempadan dan aliran perdagangan yang sah.

Menjelang ulang tahun ke-50 hubungan Kanada-ASEAN pada tahun 2027, kenyataan itu memaklumkan bahawa kedua-dua pihak sedang berusaha ke arah membentuk perkongsian yang lebih berdaya tahan, saling terhubung dan bersedia untuk masa hadapan, terutamanya pada ketika ASEAN sendiri bakal menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-60.

“Kami berhasrat untuk meningkatkan penglibatan sektoral dan bekerjasama dengan lebih rapat bersama ASEAN dalam isu-isu penting seperti transformasi digital, keselamatan tenaga dan keselamatan makanan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Luar Kanada Anita Anand mengetuai delegasi negaranya ke Persidangan Pasca Menteri Luar ASEAN-Kanada bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, di sini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, serta Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Timor-Leste selaku pemerhati.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan