KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) mengagihkan sebanyak RM889,493.65 kepada lapan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi tahun 2024 menerusi Dana Wakaf Tunai Malaysia, sebagai usaha memperkukuh ekosistem wakaf di negara ini.
Menurut kenyataan YWM hari ini, agihan tersebut dilaksanakan secara suku tahunan, selaras dengan peranan yayasan itu sebagai pemegang amanah dana wakaf yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Majlis simbolik penyerahan cek cura disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM, di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.
“Selaras dengan kelulusan kod potongan gaji wakaf kepada YWM, inisiatif ini membolehkan penjawat awam Persekutuan melaksanakan ibadah wakaf secara berkala dengan lebih mudah dan sistematik,” menurut kenyataan itu.
YWM turut memaklumkan bahawa pelaksanaan inisiatif tersebut diperkukuh melalui sokongan kerajaan menerusi Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 yang menetapkan tatacara pelaksanaan sumbangan wakaf tunai secara sukarela melalui potongan gaji bagi pegawai awam di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri.
Setakat ini, lapan MAIN iaitu Kedah, Johor, Terengganu, Melaka, Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perlis bersetuju untuk menggunapakai kod potongan gaji wakaf YWM.
“Pendekatan ini memudahkan penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri-negeri tersebut untuk berwakaf secara konsisten, dan sumbangan itu disalurkan terus ke MAIN masing-masing,” menurut kenyataan itu.
YWM memaklumkan agihan tersebut bukan sahaja menyumbang kepada agenda pemerkasaan bumiputera, malah memperkukuh kerjasama antara agensi peringkat Persekutuan dan negeri dalam memperluas penerimaan, pengurusan serta agihan wakaf tunai secara berimpak dan sistematik.
“Kerjasama berterusan ini diyakini akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi, kesejahteraan sosial masyarakat dan kemampanan wakaf di Malaysia, seiring dengan gagasan Membangun Malaysia MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri,” menurut YWM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial