KUCHING, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan mewujudkan platform pensijilan hidrogennya sendiri sejajar dengan piawaian antarabangsa bagi memastikan ketelusan dan kebolehkesanan dalam menyokong integriti pasaran.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyuarakan perkara itu ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Sarawak’s Hydrogen Vision: Catalysing Green Growth for ASEAN and Beyond” pada Persidangan Hidrogen Asia Dunia 2025 di Tokyo, Jepun, hari ini.
Abang Johari berkata Sarawak berusaha gigih untuk memperoleh perjanjian jual beli jangka panjang di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam industri hidrogen berskala besar di negeri itu.
“Kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif menerusi pelancaran Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (SHER), iaitu pelan jangka panjang yang menyasarkan Sarawak sebagai pengeluar hidrogen yang kompetitif dari segi kos, boleh dipercayai dan mampu berkembang secara berskala.
“Lebih penting, Sarawak sedang melabur dalam bidang teknologi dan inovasi kerana kami sedar bahawa penambahbaikan berterusan ialah kunci kepada daya saing dalam landskap tenaga yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan itu.
Kerajaan Sarawak juga sedang meneliti kemungkinan untuk mewujudkan satu platform pensijilan bersama yang diterima pakai di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Abang Johari berkata piawaian berkenaan mestilah selaras dengan penanda aras global kerana dalam jangka panjang ia berpotensi menjadi pemangkin kepada pasaran sukarela bagi pertukaran karbon.
Beliau berkata keseluruhan inisiatif berkenaan perlu disokong oleh pemacu kukuh termasuk tadbir urus, infrastruktur, pembiayaan, pembangunan tenaga kerja serta kejelasan peraturan supaya dapat membentuk platform yang membolehkan Sarawak muncul sebagai peneraju hidrogen serantau.
Lawatan kerja rasmi Abang Johari ke Tokyo selama dua hari bermula semalam itu khusus bagi menghadiri persidangan berprestij berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial