Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Aktiviti Komuniti Perlu Disemarak, Bantu Perkukuh Perpaduan Kaum

10/07/2025 02:03 PM

Oleh Muhammad Nabil Alma Azman dan Nurfardlina Izzati Moktar

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Aktiviti seperti gotong-royong, ziarah-menziarahi jiran tetangga serta menyertai rondaan sukarela di kawasan kediaman melibatkan semua kaum adalah antara aktiviti yang perlu diperkasakan bagi memperkukuh perpaduan di negara ini.

Beberapa pakar dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpandangan bahawa bagi memperkukuh perpaduan kaum, aktiviti berkenaan tidak boleh dilaksanakan secara bermusim.

Sebaliknya, memerlukan penglibatan aktif berterusan semua pihak termasuk daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti setempat serta tidak meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya di bahu kerajaan semata-mata.

Ikon bahasa Melayu Negara Lim San Shien berkata perpaduan seharusnya dijadikan sebahagian daripada budaya kehidupan seharian rakyat dan bukan hanya diketengahkan ketika program atau acara rasmi seperti Minggu Perpaduan.

Beliau berkata pendekatan itu selari dengan prinsip menyeluruh masyarakat, iaitu membabitkan peranan aktif rakyat dalam menjayakan ekosistem perpaduan melalui penglibatan pertubuhan belia, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan persatuan penduduk.

“Perpaduan tak berlaku hanya di pentas perasmian tetapi ia perlu dihidupkan melalui aktiviti yang dekat dengan rakyat seperti gotong-royong, sukan komuniti, tuisyen percuma dan tanaman bandar,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Lim yang juga Duta Perpaduan Johor berkata program wayang kulit bertemakan perpaduan, filem patriotik, drama pentas berunsur sejarah serta pertunjukan busana etnik juga wajar dijadikan sebahagian daripada pengisian tetap dalam sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan, dan diteruskan secara berkala di peringkat daerah dan negeri.

Beliau turut mencadangkan penganjuran forum ilmiah, dialog silang agama dan diskusi sejarah negara diadakan bagi membina kefahaman yang lebih mendalam antara kaum, selain bertujuan menyemai nilai saling menghormati.

Golongan belia juga perlu diberikan ruang menjadi ejen perpaduan melalui aktiviti yang lebih mesra komuniti seperti Eksplorasi Perpaduan, sukaneka pelbagai kaum dan projek mural kebudayaan yang melibatkan penyertaan merentas etnik dan generasi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) Dr Anuar Ahmad mencadangkan supaya peristiwa bersejarah seperti bencana banjir atau krisis COVID-19 yang menyaksikan rakyat pelbagai kaum berganding bahu saling membantu, dijadikan contoh kepada generasi baharu untuk memahami makna sebenar perpaduan.

“Anak-anak kita mungkin ada pengetahuan tetapi tidak tahu cara menghargai perpaduan kerana tiada kemahiran sosial. Interaksi antara pelajar pelbagai latar belakang serta antara komuniti berbeza etnik perlu diperkasakan melalui program yang kerap dan berterusan.

“Kemahiran ini akan melahirkan nilai seperti hormat-menghormati, kasih sayang, dan toleransi yang menjadi asas kepada masyarakat majmuk yang harmoni,“ katanya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Perdana Nasional Muhammad Mukmin Nusril berkata Minggu Perpaduan 2025 yang akan diadakan di Pulau Pinang menjadi platform penting dalam membentuk kesedaran dan meningkatkan penghayatan nilai perpaduan khusus dalam kalangan generasi muda.

"Antara aktiviti boleh dijalankan seperti pameran budaya pelbagai kaum, forum anak muda, persembahan kesenian tradisional, aktiviti sukan perpaduan, pementasan seni yang menggabungkan pelbagai elemen budaya serta sesi dialog terbuka yang memberi ruang kepada perkongsian pengalaman daripada pelbagai latar belakang," katanya.

Selain itu, beliau berkata inisiatif seperti gotong-royong di kawasan perumahan, sukan rakyat, pertandingan masakan dan sambutan perayaan bersama di balai raya atau kejiranan berupaya mencetuskan interaksi yang erat sekali gus membina persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang.

“Mesej perpaduan lebih mudah bertapak apabila ia bermula dari bawah melalui hubungan harian di pasar, padang permainan dan kejiranan. Apa yang penting ialah program tersebut dekat dengan kehidupan seharian serta melibatkan semua kaum,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah dan Felo Majlis Profesor Negara Prof Datuk Teo Kok Seong berkata perpaduan nasional tidak harus dilihat sebagai usaha menyatukan perbezaan, sebaliknya menonjolkan keunikan budaya, bahasa dan kepercayaan sebagai aset bersama.

Beliau berkata sambutan seperti Minggu Perpaduan perlu dijadikan ‘moment of unity’ yang menjadi pencetus kepada usaha berterusan membina masyarakat yang bersatu-padu, dan bukannya sekadar kempen tahunan.

“Kita perlu jadikan Minggu Perpaduan ini sebagai detik untuk membuka kesedaran dan dari situ kita wujudkan kesinambungan menerusi dasar pendidikan, peranan masyarakat sivil serta penglibatan media,” katanya.

Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan bakal berlangsung selama empat hari bermula 17 Julai ini, bertempat di pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Pada sambutan itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya Pameran Rumah Kami yang menonjolkan tentang adat, budaya, makanan pelbagai kaum dan etnik; perkampungan etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli; sajian makanan pelbagai kaum dan etnik; Jualan MADANI; diskaun saman 50 peratus Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pameran aset keselamatan dan kententeraan.

Selain itu, sambutan dimeriahkan dengan persembahan yang menampilkan barisan artis seperti Datuk Awie, Stacy, Jaclyn Victor, Black Hanifah, Inteam, Shina Zikir, Suki Low dan Hijjaz; Battle Of The Band; senam seni bersama penyampai Radio ERA Pak Azad, Nabil dan Radin serta meet and greet (temu mesra) bersama artis Wany Hasrita, Amira Othman, Cik B, Ryan Bakery, Ara Johari,Eric Fuzzy, Hawa Rizwana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan