Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AMM Ke-58: Setiausaha Negara AS Rubio Tiba Di Malaysia Hadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi

10/07/2025 09:10 AM

SUBANG JAYA, 10 Julai (Bernama) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio tiba di sini pada Khamis bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dianjurkan Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.

Ini juga adalah lawatan sulung Rubio ke Asia sebagai Setiausaha Negara selepas dilantik ke jawatan itu awal tahun ini.

Beliau mewakili AS ke mesyuarat ASEAN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai.

Delegasi AS mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini pada 7.39 pagi.

Mereka disambut oleh Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman, Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D Kagan dan Kuasa Usaha di Misi AS ke ASEAN Kate Rebholz.

Menurut Jabatan Negara AS, Rubio dijadual menyertai Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar  ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF) yang berlangsung mulai Khamis.

Beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia sepanjang lawatan itu.

Kesemua Menteri Luar ASEAN hadir ke mesyuarat itu kecuali Myanmar yang diwakili pegawai kanannya manakala Menteri Luar Timor-Leste akan menjadi pemerhati.

ARF, yang merupakan komponen utama dalam rangka lebih luas AMM, menghimpunkan negara anggota ASEAN, rakan dialog serta rakan strategik lain seperti AS, China, Rusia, Kesatuan Eropah, Jepun dan Australia.

Malaysia menjadi tuan rumah AMM buat kali kelima tahun ini, selepas mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

AS memulakan hubungan rasmi dengan ASEAN pada 1977, satu dekad selepas penubuhan blok serantau itu.

Hubungan itu telah dipertingkat kepada Perkongsian Strategik pada 2015 dan dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan