Oleh Nur Elysa Amirah Suhaimi dan Linda Khoo
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Thailand memuji kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, khususnya peranan yang berkesan dalam mengemudi blok serantau itu serta sokongan terhadap penyertaan Timor-Leste, sekali gus menandakan peluasan pertama ASEAN sejak beberapa dekad.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura berkata Timor-Leste akan diterima secara rasmi sebagai negara anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-47 yang dijadualkan Oktober ini di sini.
“Kami puji usaha gigih Malaysia yang telah melaksanakan tanggungjawab ini dengan cemerlang.
“Ini satu pencapaian penting. Sudah lama ASEAN tidak menerima kemasukan negara baharu dalam ‘keluarga’,” katanya kepada Bernama dalam temu bual ekslusif sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
ASEAN ditubuhkan pada 1967 oleh Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura menerusi penandatanganan Deklarasi ASEAN di Bangkok.
Brunei menyertai ASEAN pada 1984, disusuli Vietnam (1995), Laos dan Myanmar (1997) serta Kemboja (1999).
Timor-Leste semakin hampir mencapai keanggotaan penuh blok serantau itu yang dibarisi 10 negara anggota. Penyertaan negara terbabit dijangka memperkukuh kedudukan strategik ASEAN serta meningkatkan lagi peranan blok itu selaku kuasa utama di peringkat global.
Timor-Leste yang merupakan negara “termuda” di Asia Tenggara telah memohon secara rasmi untuk menjadi anggota ASEAN pada 2011, sembilan tahun selepas mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002.
Pada November 2022, ASEAN secara prinsip bersetuju menerima Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 dan diberikan status pemerhati yang membolehkan negara itu mengambil bahagian dalam mesyuarat ASEAN serta sesi pleno sidang kemuncak.
Dengan jumlah penduduk kira-kira 1.3 juta, Timor-Leste masih bergantung kepada eksport minyak dan gas, manakala sektor pertanian dan perkhidmatan semakin berkembang dan menyumbang kepada hasil negara.
Sementara itu, Nikorndej turut memuji Malaysia atas kepimpinan yang cemerlang selaku Pengerusi ASEAN 2025.
“Kami benar-benar memuji inisiatif Malaysia. Secara ikhlas, usaha mendukung keterangkuman dan kemampanan amat selari dengan agenda Thailand.
“Kami (Thailand) telah lama mendukung prinsip itu,” katanya.
Beliau turut memberi penghargaan kepada Malaysia atas usaha menubuhkan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN untuk menjalankan kajian dan mengemukakan cadangan strategik bagi menangani ketidaktentuan ekonomi.
“Saya telah teliti cadangan-cadangan yang dikemukakan dan yakin ia sangat bermanfaat,” katanya.
Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN ditubuhkan pada Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-31 di Desaru, Johor pada Februari lepas.
Pasukan berkenaan berfungsi sebagai satu platform membabitkan pakar-pakar bagi membolehkan ASEAN membincang dan merumuskan tindak balas dasar serantau yang koheren dan berpandangan jauh terhadap cabaran ekonomi serta geopolitik yang sedang muncul.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial