Oleh Rohani Mohd Ibrahim & Norsyafawati Ab Wahab
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Lawatan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva ke Malaysia pada Oktober ini bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan Brazil–Malaysia, yang kini berada di fasa yang amat dinamik.
Setiausaha Agung Hal Ehwal Luar Brazil, Maria Laura da Rocha berkata lawatan itu yang merupakan kunjungan pertama oleh seorang Ketua Negara Brazil ke Malaysia dalam tempoh hampir tiga dekad, akan menjadi kemuncak kepada momentum positif sedia ada dan meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang belum pernah dicapai sebelum ini.
“Ini akan menjadi detik bersejarah, pertama kali Presiden Brazil menyertai Sidang Kemuncak ASEAN, menandakan komitmen semakin kukuh Brazil terhadap Asia Tenggara,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini.
Presiden Lula menerima jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober sebagai Tetamu Pengerusi ASEAN, menandakan peluasan signifikan jaringan ASEAN ke wilayah Amerika Latin.
Rocha, yang mengetuai delegasi Brazil ke mesyuarat tiga hala Brazil–ASEAN Kedua di Kuala Lumpur pada Selasa, berkata penglibatan dengan ASEAN mencerminkan dasar negaranya yang kini memperoleh momentum baharu di bawah pentadbiran Presiden Lula.
“Perbincangan kami dalam mesyuarat tiga hala itu amat produktif. Kami menilai kemajuan Perkongsian Dialog Sektoral Brazil–ASEAN serta pertukaran pandangan mengenai bidang kerjasama baharu yang berpotensi.
Sebagai satu-satunya Rakan Dialog Sektoral ASEAN dari Amerika Latin dan Caribbean, Brazil telah memperkukuh keterlibatannya dengan rantau ini sejak hubungan itu dimuktamadkan pada 2022.
Sejak 2023, Brazil dan ASEAN mengadakan dua mesyuarat tiga hala serta tiga sesi Jawatankuasa Kerjasama Sektoral Bersama ASEAN–Brazil (AB-JSCC), dengan pelaksanaan projek-projek berorientasikan hasil di bawah bidang kerjasama praktikal 2024–2028.
Antara inisiatif utama ialah Inisiatif Kerjasama Biotenaga ASEAN–Brazil yang kini memasuki fasa kedua, memberi tumpuan kepada peralihan tenaga mampan, katanya.
Dalam konteks dua hala, Rocha berkata hubungan Brazil–Malaysia sedang melalui fasa yang amat dinamik, dengan peningkatan perdagangan, kunjungan balas menteri dan pengukuhan kerjasama ekonomi.
“Nilai perdagangan dua hala mencecah hampir US$6 bilion pada 2024. Syarikat-syarikat Malaysia melabur dalam sektor tenaga Brazil, manakala syarikat Brazil pula mengembangkan operasi mereka dalam sektor perlombongan dan logistik di Malaysia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa ASEAN kini merupakan rakan dagang kelima terbesar Brazil, dengan jumlah perdagangan melebihi US$37 bilion pada 2024.
Dalam lawatan pertamanya ke Malaysia, Rocha turut melahirkan rasa kagum terhadap Taman KLCC yang direka oleh seniman landskap ikonik Brazil Roberto Burle Marx, terletak bersebelahan lokasi mesyuarat AMM.
“Taman KLCC ialah lambang apa yang boleh dicapai bersama oleh Brazil dan Malaysia — keindahan, biodiversiti dan kemampanan melalui kerjasama antarabangsa,” katanya dalam temu bual di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menghadap taman berkenaan.
Rocha berkata, Taman KLCC merupakan warisan hidup yang menghubungkan kedua-dua negara dengan cara yang unik dan mempesona, sekali gus menjadi bukti kepada ikatan budaya yang berkekalan.
Taman KLCC ternyata merupakan satu-satunya projek Burle Marx (1909–1994) di Asia dan mungkin juga karya terakhirnya.
Taman itu siap dan dibuka pada 1998, selepas pemergian beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial