Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Rasmi AMM Ke-58, Fokus Kepada Kebimbangan Serantau Dan Global

09/07/2025 08:42 AM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di sini pada Rabu.

Majlis itu akan dihadiri oleh semua Menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, yang sebelum itu dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Anwar.

Acara akan diteruskan dengan Sesi Pleno AMM ke-58 diikuti Sesi Pemukiman AMM dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka mempengerusikan mesyuarat itu.

Pemukiman AMM sebelum ini, yang berlangsung di Langkawi pada Januari lepas, diakhiri dengan nasihat kepada Myanmar, penilaian kemajuan Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC) dan tekad untuk mengukuhkan kesatuan serta daya tahan ASEAN.

Turut dalam agenda ialah majlis menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) yang dihadiri Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Kao.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan,’ menyaksikan 24 mesyuarat peringkat menteri termasuk sesi libat urus bersama Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Mesyuarat peringkat tinggi itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai, menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan.

Semua Menteri Luar ASEAN hadir kecuali Myanmar yang diwakili pegawai kanan kementerian luarnya manakala Menteri Luar Timor-Leste turut serta sebagai pemerhati.

Perhimpunan yang sangat dinanti-nantikan itu menyaksikan satu daripada perhimpunan terbesar Menteri-Menteri Luar serta diplomat berpangkat tinggi dari seluruh dunia untuk membincangkan isu-isu global dan serantau yang mendesak, memupuk kerjasama selain memajukan agenda keselamatan serta kemampanan di ASEAN.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas menyandang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan