PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Keputusan pemilihan penempatan bagi 2,248 pegawai perubatan kontrak Gred UD10 yang telah ditawarkan lantikan tetap melalui sistem ePlacement boleh disemak bermula hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bagaimana pun bagi calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan, mereka boleh mengisi borang Google Form yang disediakan dalam hebahan sistem ePlacement selepas keputusan penempatan dikeluarkan.
"Tempoh rayuan dibuka dari 8 Julai, 10 pagi hingga 14 Julai, 5 petang … hanya rayuan yang dikemukakan dengan dokumen lengkap dalam tempoh yang ditetapkan akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan dan Pertukaran (JKPP).
"Rayuan yang dikemukakan sebelum atau selepas tempoh ini tidak akan dipertimbangkan oleh JKPP bagi memastikan keputusan rayuan dapat dimaklumkan lebih awal dan tidak mengganggu garis masa serta urusan melapor diri bertugas di penempatan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Awam ke-12 dan Persidangan Saintifik Institut Kesihatan Negara ke-26 di sini hari ini.
Dzulkefly berkata keputusan rayuan akan diketahui pada 19 Ogos dan pegawai perubatan yang terlibat boleh membuat semakan menerusi sistem sama.
"Dengan mengintegrasikan nilai MADANI seperti Kemampanan, Kesejahteraan dan Daya Cipta, KKM yakin sistem kesihatan awam Malaysia dapat diperkasakan bagi menghadapi realiti baharu dan cabaran masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, mengulas cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk penggunaan sijil cuti sakit digital bagi membanteras penggunaan sijil cuti sakit palsu dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata perkara itu sedang diteliti KKM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial