Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Anjur Tiga Program Utama Pembangunan Bandar Mampan ASEAN

08/07/2025 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia akan menganjurkan tiga program utama peringkat ASEAN berkaitan pembangunan bandar mampan dari 10 hingga 15 Ogos, bersempena peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, kementeriannya akan menjadi tuan rumah kepada Forum Perbandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN (AGMF), serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Beliau menyifatkan penganjuran ini sebagai tindak balas berani Malaysia terhadap seruan global ke arah pembangunan bandar-bandar berdaya tahan iklim dan pembangunan saksama, terutama memandangkan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN dan Presiden Perhimpunan UN-Habitat.

“Sebagai penganjur serantau dan penyokong global, Malaysia berbangga memimpin gerakan pembandaran ini. Kuala Lumpur 2025 akan menjadi penanda aras penting dalam merealisasikan bandar masa depan,” katanya ketika berucap pada prapelancaran ketiga-tiga program di sini pada Selasa.

Nga berkata, lebih 8,000 peserta termasuk gabenor dan datuk bandar dari 500 bandar dijangka menghadiri acara yang bertemakan "ASEAN Future Cities and Regions: Inclusivity and Sustainability" itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib dan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohamad Hamim.

Mengulas lanjut, Nga berkata penganjuran kali ini akan memberi tumpuan kepada empat teras utama, iaitu Bandar Berdaya Tahan Iklim, Bandar Inklusif, Sihat dan Penyayang, Transformasi Digital dan Inovasi serta Laluan Kerjasama Menuju Kemampanan.

Beliau menekankan bahawa ia bukanlah cita-cita abstrak tetapi pelan tindakan yang didorong oleh kajian kes dan rangka kerja dasar yang sebenar.

Antara aplikasi praktikal yang bakal dibincangkan termasuk penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi kawasan mudah banjir, perumahan mampu milik berorientasikan transit dan sistem mobiliti inklusif.

"Antara sorotan program selama seminggu ini ialah lapan lawatan teknikal, lima perhimpunan pemegang taruh, Ekspo Bandar yang melibatkan 100 peserta pameran, serta lebih 150 sesi dengan penyertaan lebih 200 penceramah serantau dan antarabangsa,” katanya.

Sebagai simbolik kepada prapelancaran, Nga turut memperkenalkan bas GoKL dan Prasarana bertema khas yang akan berfungsi sebagai “duta bergerak” bagi menyampaikan mesej pembandaran mampan kepada orang ramai.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai penyedia mobiliti rasmi ASUF memaklumkan perkhidmatan bas ulang-alik khas disediakan sepanjang tempoh penganjuran program-program terbabit.

Ia  meliputi laluan utama seperti KLCC, Bukit Bintang dan beberapa lokasi tarikan di pusat bandar yang antara lain bertujuan meningkatkan keterhubungan serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Selain itu, Prasarana akan menganjurkan lawatan teknikal bagi peserta program ke pusat kawalan operasi dan depoh bagi memberi pendedahan lebih mendalam mengenai operasi pengangkutan awam bandar.

“Inisiatif lain termasuk penyertaan dalam sesi forum dan libat urus, pelaksanaan aktiviti Children’s City Walk untuk mendidik kanak-kanak tentang peranan pengangkutan awam dalam pembangunan mampan serta penyertaan di reruai pameran korporat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan