Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Perlu Reformasi Lebih Berani Untuk Tarik Perniagaan, Pelaburan - PM Singapura

05/07/2025 08:43 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 5 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu melaksanakan reformasi lebih berani untuk menjadikan rantau ini sebagai pasaran tunggal yang lebih lancar dan kompetitif bagi menarik perniagaan dan pelaburan yang mencari alternatif dalam ekonomi global yang semakin tidak teratur, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.

Dalam satu video yang dimuat naik di saluran YouTubenya, Wong berkata untuk mencapai matlamat ini, halangan perdagangan dan pelaburan perlu dikurangkan.

“Kita perlu memudahkan syarikat untuk beroperasi merentasi sempadan, merundingkan Perjanjian Ekonomi Digital ASEAN, menghubungkan sistem pembayaran masa nyata seperti yang telah dilaksanakan antara Singapura, Malaysia dan Thailand, serta meningkatkan infrastruktur fizikal termasuk sambungan rel dan grid tenaga,” katanya.

Beliau berkata integrasi yang lebih erat antara ekonomi ASEAN adalah kunci untuk membuka potensi penuh rantau ini.

“Khususnya, dekad akan datang amat penting. Keamanan, kestabilan dan pertumbuhan yang berterusan di ASEAN akan mengubah keseluruhan rantau kita, dan ini akan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peluang ekonomi dan taraf hidup yang lebih baik untuk semua rakyat kita,” katanya.

Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata selain integrasi dalaman, ASEAN perlu memperdalam perkongsian dengan seluruh dunia.

Beliau berkata blok serantau itu kini mempunyai tujuh perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan rakan luar dan sedang meneroka perjanjian dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Kesatuan Eropah (EU).

“Perjanjian ini membuka peluang kepada perniagaan kita dan menjadikan ASEAN lebih terhubung dengan pasaran global,” katanya.

Wong berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini telah menggerakkan usaha reformasi ini, dan Singapura menyokong penuh usaha tersebut.

Beliau menambah bahawa momentum ini akan diteruskan apabila Filipina mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, dan apabila Singapura menjadi Pengerusi pada 2027, iaitu tahun penting yang menandakan ulang tahun ASEAN ke-60.

“Singapura akan bekerjasama rapat dengan rakan ASEAN dan rakan di seluruh dunia untuk memastikan ASEAN kekal kukuh, berkesan dan relevan untuk masa depan,” katanya sambil menggalakkan semua rakyat Singapura menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

Selain itu, Wong berkata ASEAN mesti bekerjasama untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serta mengekalkan rantau yang terbuka dan inklusif, tanpa didominasi oleh mana-mana kuasa besar.

“ASEAN pernah mengalami konflik sebelum ini. Kita pernah menjadi medan perang proksi kuasa besar. Kita tidak mahu perkara itu berulang. Kita juga tidak mampu membiarkan pertikaian memecahbelahkan kita,” katanya.

Wong, yang memegang jawatan pada Mei 2024, berkata beliau baru sahaja selesai melakukan lawatan pengenalan ke ibu negara ASEAN, kecuali Myanmar, yang beliau berharap dapat dilawati apabila keadaan lebih mengizinkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan