Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MATFA Harap Sokongan Kerajaan Untuk Industri Taman Tema Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

02/07/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) berharap agar kerajaan dan agensi pelancongan berkaitan, dapat memberi sokongan yang lebih besar dalam mempromosikan industri taman tema negara sebagai tonggak utama strategi pelancongan nasional, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Presiden MATFA Tan Sri Richard Koh berkata persatuan itu, bersedia memainkan peranan penting dalam menarik pelancong tempatan dan antarabangsa, untuk menikmati pelbagai taman tema dan tarikan keluarga yang meriah di negara ini.

“Malaysia mempunyai pelbagai taman tema bertaraf dunia, pusat edutainment dan tarikan keluarga yang menawarkan pengalaman yang menyeronokkan untuk semua peringkat umur.

“Dengan VM2026 semakin hampir, ini peluang terbaik untuk menampilkan yang terbaik daripada apa yang kita ada, daripada permainan yang mencabar dan taman air, sehinggalah kepada pengalaman budaya dan zon edutainment,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MATFA juga berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia dan kerajaan negeri berkaitan, bagi memastikan taman tema utama dan tarikan keluarga dimasukkan dalam bahan promosi, jadual perjalanan serta kempen pelancongan VM2026.

Antara cadangan utama yang dikemukakan MATFA, termasuklah pemberian insentif cukai atau promosi kepada pengendali taman tema bagi meningkatkan pengalaman pengunjung serta tahap mampu milik, selain mempromosikan Malaysia sebagai destinasi mesra keluarga di pasaran serantau dan global.

MATFA, yang menyokong Kempen Jualan Mega Malaysia 2025 yang sedang berlangsung, percaya dengan sokongan yang bersesuaian, sektor taman tema dan tarikan keluarga berpotensi besar untuk merangsang perbelanjaan pelancong, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pemulihan serta pertumbuhan pelancongan Malaysia pascapandemik.

Ketika ini, MATFA dan para ahlinya sedang merancang siri pakej tambah nilai, program istimewa dan promosi silang menjelang VM2026, bagi memperkaya pengalaman pelawat dan menggalakkan tempoh penginapan yang lebih panjang.

“Kami bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan VM2026 menjadi penanda aras kejayaan pelancongan Malaysia. Bersama-sama, kita boleh menjadikan Malaysia destinasi pilihan utama percutian keluarga di Asia Tenggara,” katanya.

Ditubuhkan pada tahun 2001, MATFA mewakili taman tema, taman air, taman permainan dalaman, arked dan pusat hiburan keluarga di seluruh Malaysia dan rantau ASEAN.

Persatuan ini mempromosi rekreasi sihat, pematuhan standard industri dan pembangunan pelancongan melalui kerjasama serta advokasi berterusan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan