Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pembangunan Kota MADANI Wajar Disokong, Penuhi Keperluan Semasa

01/07/2025 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Projek pembangunan Kota MADANI yang mesra alam sekitar serta dilengkapi ciri keselamatan, wajar disokong sepenuhnya kerana ia secara khusus bertujuan menyediakan kemudahan asas serta memenuhi keperluan penduduk.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata projek itu yang turut menekankan infrastruktur digital dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) mengambil kira keperluan perumahan penduduk dan pembangunan kemudahan asas seperti sekolah, masjid, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta klinik kesihatan.

“Ia bukan projek Putrajaya baharu mahupun projek mega gedung besar tetapi secara khusus bagi menyediakan kemudahan asas dan memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

“Sebelum ini kemudahan asas khususnya masjid dan sekolah sering kali tiada dalam perancangan awal atau sekadar diletakkan di fasa terakhir yang memerlukan penduduk sendiri mencari dana untuk membinanya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata kemudahan yang ingin dibina itu sudah pasti membuatkan penduduk tidak perlu memandu jauh menghantar anak ke sekolah atau ke masjid seperti yang berlaku hari ini.

“Ini pastinya menenangkan hati ibu bapa terutama dari aspek keselamatan anak-anak. Mahu tidak mahu, rakyat Malaysia yang semakin bertambah memerlukan perumahan dan kemudahan asas yang baik memenuhi keperluan kehidupan seperti persekolahan, kerohanian, rekreasi, ekonomi dan lain-lain. 

“Bayangkan sekiranya projek perumahan dan pembangunan di seluruh Malaysia menggunakan model dan konsep ini, ia akan banyak memberi manfaat kepada penduduk dan komuniti Malaysia dan mana-mana pihak yang mengaplikasikan model ini,” katanya.

Beliau berkata konsep dan visi Kota MADANI adalah selaras dengan falsafah MADANI itu sendiri.

“Saya memahami bahawa pasti ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Sudah menjadi lumrah manusia berbeza pandangan, cuma adab dan akhlak mesti dipelihara dan diamalkan sebaiknya,” katanya.

Pada 26 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya satu inisiatif mega berkonsepkan bandar pintar yang mesra rakyat dan alam sekitar.

Projek bernilai RM4 bilion itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan build, lease, maintain and transfer (Bina-Pajak-Selenggara-Pindah–BLMT), tanpa melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan