JOHOR BAHRU, 1 Julai (Bernama) -- Permohonan Bantuan Laptop Siswa Johor untuk anak Johor yang akan memulakan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dibuka mulai hari ini hingga 30 Julai.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata inisiatif itu merupakan antara usaha prihatin kerajaan negeri menyokong pelajar pengajian sepenuh masa di IPT awam dan swasta, khususnya pelajar Tahun 1 (Semester 1).
“Antara syarat kelayakan ialah pemohon mesti lahir atau menetap di Johor sekurang-kurangnya lima tahun, daripada keluarga B40 dan mengikuti pengajian sepenuh masa peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di IPT diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Permohonan hanya secara dalam talian melalui imbasan kod respons pantas (QR) disediakan. Proses pemilihan dan tapisan akan dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan pemohon berdasarkan kelayakan ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Aznan berkata tawaran adalah terhad dan pelajar berjaya akan dihubungi dengan penyerahan komputer riba dibuat melalui pejabat ADUN kawasan mereka.
Untuk maklumat lanjut dan permohonan, orang ramai boleh mengimbas kod QR pada poster di Facebook atau menerusi pautan rasmi https://bantuan-ypj.com/portal/.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta untuk bantuan komputer riba kepada 1,000 mahasiswa daripada keluarga B40 dalam usaha memperkasakan pendidikan generasi muda menerusi Belanjawan Johor 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial