Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bil Elektrik Lebih Terperinci, Pecahan Caj Bantu Pelanggan Fahami Penggunaan Tenaga

01/07/2025 10:28 AM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh meneliti secara terperinci setiap sen yang dibelanjakan bagi penggunaan elektrik menerusi format bil baharu yang lebih menyeluruh dengan pelaksanaan struktur tarif eletrik baharu yang diumumkan Suruhanjaya Tenaga (ST), baru-baru ini.

Struktur baharu yang digunakan ini diluluskan kerajaan melalui mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) selaras dengan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Berdasarkan laman sesawang rasmi myTNB, pelanggan akan menerima bil yang memaparkan pecahan tiga komponen utama, Caj Penjanaan, Caj Rangkaian dan Caj Peruncitan. Pendekatan itu bertujuan meningkatkan ketelusan dan kefahaman pengguna terhadap struktur bil elektrik. 

“Caj Penjanaan merangkumi kos bahan api, kapasiti penjanaan dan pelarasan harga bahan api global, Caj Rangkaian melibatkan kos operasi penghantaran dan penyelenggaraan sistem bekalan, manakala Caj Peruncitan membabitkan kos perkhidmatan pelanggan, pengebilan serta pengurusan akaun,” menurut laman sesawang itu.

Bil lebih terperinci itu bertujuan meningkatkan tahap ketelusan, selain membantu pengguna memahami dengan lebih jelas struktur bil elektrik mereka.

“Maklumat ini membolehkan pelanggan TNB meneliti perincian setiap sen yang dibelanjakan, seterusnya membuat keputusan lebih bijak dalam pengurusan tenaga harian,” menurut laman sesawang itu.

Pada Julai, pelanggan akan menerima bil peralihan yang memaparkan dua caj penggunaan bagi tempoh berbeza, iaitu hingga 30 Jun 2025 (dikira mengikut tarif lama) dan bermula 1 Julai 2025 (berdasarkan struktur tarif baharu).

“Bil peralihan bulan Julai 2025 akan tersedia dalam tempoh 24 jam melalui aplikasi dan portal myTNB, manakala bagi pelanggan yang menerima bil bercetak, penghantaran bil akan dihantar dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh bacaan dibuat,” menurut laman sesawang itu.

Bagi memastikan ketelusan dan kejelasan kepada pelanggan, TNB akan mengedarkan risalah pengesahan daripada pembaca meter sebagai bukti bahawa bacaan meter telah dilakukan.

Bermula Ogos 2025 para pelanggan akan menerima bil elektrik yang memaparkan komponen bil secara menyeluruh mengikut struktur baharu.

Selain itu, bagi membantu pengguna menyesuaikan diri dengan perubahan itu, TNB turut menyediakan Kalkulator Bil Elektrik dalam talian di laman sesawang rasmi myTNB bagi membolehkan pelanggan membuat anggaran bil berdasarkan penggunaan dan kadar tarif baharu.

Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi www.mytnb.com.my/tariff atau hubungi TNB CareLine di 1300-88-5454, juga di semua cawangan Kedai Tenaga seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan