MELAKA, 29 Jun (Bernama) -- Jambu batu Lohan (GU16) yang sinonim di Melaka kini dijenamakan semula sebagai MelGuv iaitu singkatan bagi 'Melaka Guava'.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penjenamaan semula itu adalah sebagai simbol transformasi dan nilai tambah dalam sektor pertanian negeri khususnya pengeluaran tanaman berkenaan secara lebih meluas.
"MelGuv mempunyai rasa unik iaitu manis serta ranggup dan berbeza dengan jambu batu yang ditanam di negeri lain dan setakat ini, kawasan tanaman terbesar ialah di Pulau Gadong.
"Pada tahun lepas sahaja, sebanyak 1,139 tan metrik jambu Lohan atau MelGuv dihasilkan di kawasan seluas kira-kira 80 hektar di sekitar Melaka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Melaka Agrofest 2025.
Beliau berkata jambu batu itu mula ditanam secara komersial pada 2023 dengan pengeluaran lebih 1,000 tan metrik setahun dan angka berkenaan meningkat secara berperingkat dari tahun ke tahun.
Ab Rauf berkata sempena Melaka Agrofest 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas, sebanyak 15,000 biji MelGuv diagihkan kepada pengunjung.
Terdahulu, beliau berkata kira-kira RM1.05 juta nilai jualan direkodkan dengan kehadiran 41,842 pengunjung selepas dua hari Melaka Agrofest 2025 berlangsung dan jumlah itu dijangka meningkat pada hari terakhir penganjurannya.
Ab Rauf juga berkata Melaka Agrofest terus menjadi landasan strategik dalam mengangkat sektor agromakanan selaras dengan evolusi Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Melaka yang diperkenal pada 1983.
Beliau berkata melangkah ke hadapan, kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan melalui pelbagai inisiatif termasuk memperluas pengoperasian Taman Kekal Pengeluaran Makanan.
"Alhamdulillah... pada tahun lepas, sektor pertanian menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negeri dengan nilai mencecah RM4.8 bilion dan pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.5 peratus, mengatasi sektor-sektor lain.
"Pada tahun ini pula, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10.2 juta bagi projek-projek pertanian berimpak tinggi merangkumi agropelancongan, subsektor tanaman dan pembangunan sawah padi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial