Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Dan Prabowo: Keakraban Dua Pemimpin, Harapan Satu Rantau – Shamsul Iskandar

27/06/2025 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Hubungan akrab antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto mencetuskan dimensi baharu dalam landskap diplomasi serantau.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata keakraban itu bukan sekadar terhad kepada lawatan rasmi atau kerjasama dua hala, malah menjadi simbol politik yang progresif dan bersifat kemanusiaan.

Beliau berkata hubungan erat kedua-dua pemimpin itu memberi inspirasi kepada generasi muda yang selama ini skeptikal terhadap dunia politik yang sering dilihat keras, penuh persaingan dan jauh dari nilai-nilai kemanusiaan.

“Sejarah mencatatkan bahawa kedua-dua tokoh ini pernah melalui fasa getir dalam perjuangan politik masing-masing. Anwar Ibrahim dikenang sebagai tokoh reformasi Malaysia yang dipecat, dipenjara dan diasak selama puluhan tahun sebelum bangkit semula dan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Prabowo Subianto pula menempuh laluan sukar selepas tersingkir daripada angkatan tentera pada era reformasi Indonesia 1998, sebelum kembali menyusun langkah dan akhirnya memenangi pilihan raya presiden,” kata Pengerusi Biro Antarabangsa PKR itu dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Iskandar berkata perjalanan politik Anwar selepas dibebaskan dari penjara pada 2004 memperlihatkan keakraban mendalam antara beliau dan rakyat Indonesia.

“Ketika lawatan beliau ke Jakarta tidak lama kemudian, Anwar diundang sebagai penceramah dalam beberapa siri syarahan bertema ‘Anwar Sahabat Sejati’.

“Ia mencerminkan kesetiaan dan penghargaan rakyat Indonesia terhadap beliau serta memperlihatkan bahawa nilai persahabatan dan keadilan yang dibawa beliau merentasi sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu sebelum ini pernah dianggap sudah menamatkan karier politik, namun hari ini mereka berdiri sebagai pemimpin utama dua negara serumpun.

Menurutnya, sejarah peribadi mereka yang penuh luka dan perjuangan menjadikan naratif ini lebih hidup dan bermakna terutama kepada generasi muda yang mengimpikan politik yang jujur, terbuka dan tidak bersifat elitis.

“Kisah mereka menjadi pelajaran besar bahawa kesabaran dan konsistensi dalam memperjuangkan cita-cita tetap akan menemukan jalannya,” katanya.

Dalam budaya politik Asia Tenggara yang kadangkala terlalu protokol dan kaku, Shamsul berkata, keakraban yang ditampilkan Anwar dan Prabowo memberikan sentuhan kemanusiaan yang menyegarkan.

Katanya gambar mereka bersalaman erat, ketawa bersama dan berbicara secara santai menjadi tular dan memberi mesej bahawa pemimpin juga boleh tampil mesra, tulus dan dekat dengan denyut nadi rakyat.

Lebih menarik, gaya komunikasi mereka turut selari dengan cita rasa generasi digital.

“Anwar dengan penggunaan bahasa Melayu baku yang difahami rakyat Indonesia, dan Prabowo dengan gaya media sosialnya yang disunting dengan nuansa estetik moden, menjadikan mereka relevan di mata anak muda.

“Kedua-dua tokoh ini dilihat berjaya menjambatani jurang generasi dan memecahkan tembok konservatif dalam politik,” katanya sambil menambah bahawa hubungan ini turut memberi impak nyata terhadap dasar dan inisiatif bersama kedua-dua negara.

Di bawah kepimpinan mereka, Shamsul berkata kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia semakin kukuh merangkumi sektor ekonomi, keselamatan makanan dan perlindungan pekerja migran.

“Kedekatan ini turut dizahirkan menerusi kunjungan tidak rasmi Prabowo ke Kuala Lumpur semata-mata untuk makan tengah hari bersama Anwar, satu isyarat jelas bahawa hubungan mereka bukan sekadar protokol tetapi diasaskan kepada kepercayaan yang tulus,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua negara kini sedang menyusun strategi jangka panjang menerusi dasar baharu.

“Di Indonesia, program makan percuma yang dilancarkan oleh Prabowo dilihat sebagai usaha besar memperkukuh jaminan sosial, manakala penubuhan institusi Danantara yang disifatkan sebagai Temasek versi Indonesia memperlihatkan betapa seriusnya beliau merancang pertumbuhan ekonomi masa depan.

“Malaysia pula menerusi pendekatan MADANI di bawah Anwar terus memberi penekanan kepada pengukuhan institusi dan keadilan sosial yang bersifat inklusif,” katanya.

Dalam konteks hubungan dua negara, beliau berkata ini bukan kali pertama Malaysia dan Indonesia menyaksikan keakraban dua pemimpin besar.

“Sejarah turut mengingatkan kita kepada hubungan awal antara Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Presiden Soekarno yang pernah melalui fasa mesra dan idealistik pada awal kemerdekaan. Namun, keakraban itu musnah akibat konfrontasi yang menegangkan suasana serantau.

“Kini, hubungan Anwar dan Prabowo seolah-olah membuka kembali lembaran sejarah yang tertutup, memberikan harapan baharu bahawa diplomasi boleh hadir dengan nilai peribadi, kepercayaan dan niat tulus dalam membina Asia Tenggara yang lebih stabil dan bersatu,” katanya.

Apa yang lebih penting, katanya hubungan dua hala ini tidak terhenti di peringkat kepimpinan tertinggi semata-mata, malah turut mengalir ke akar umbi menerusi kerjasama aktif antara sayap pemuda seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK) dari Malaysia dan Garda Pemuda NasDem (GPND) dari Indonesia.

Beliau berkata komunikasi yang terjalin antara kedua-dua organisasi anak muda ini membuka ruang kepada pertukaran pandangan, latihan bersama dan potensi projek rentas sempadan.

“Seorang pengurus GPND di Malaysia menyatakan bahawa jika anak muda hari ini sudah saling mengenali dan berjejaring, masa depan kerjasama Indonesia-Malaysia akan menjadi lebih kukuh, bukan hanya di peringkat elit, tetapi juga di peringkat masyarakat.

“Kenyataan ini menyentuh inti sebenar diplomasi rakyat, bahawa kekuatan serumpun itu dibina dari bawah, bukan semata-mata dari atas,” katanya.

Bagi AMK, katanya kerjasama dengan GPND adalah peluang untuk keluar dari zon selesa dan menjadi suara anak muda Malaysia yang turut bergema di pentas serantau.

“Ia adalah ruang untuk membuktikan bahawa anak muda Malaysia bukan sahaja peka terhadap isu dalam negara, tetapi juga bersedia menjadi pemain aktif dalam diplomasi ASEAN yang berwajah muda, segar dan dinamik,” katanya yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa PKR.

Shamsul berkata lawatan Anwar ke Indonesia hari ini memperkukuh lagi mesej ini.

Menurutnya, Perdana Menteri dijangka bertemu Prabowo petang ini bagi sesi dialog dasar bersama, diikuti lawatan ke pusat latihan pemuda dan dialog bersama generasi muda Indonesia.

“Inisiatif-inisiatif ini jelas menunjukkan bahawa kerjasama bukan hanya dibina di meja mesyuarat rasmi, tetapi turut melibatkan suara dan aspirasi anak muda kedua-dua negara.”

Sebagai kesimpulan, beliau berkata Prabowo dan Anwar bukan sekadar berperanan sebagai pemimpin negara, tetapi turut menjadi simbol kebangkitan semula, keyakinan diri dan keakraban serumpun yang membawa harapan baharu kepada rakyat, terutamanya golongan muda.

“Dalam dunia politik yang sering dicemari retorik kosong dan polarisasi, kehadiran dua figura ini membuktikan bahawa politik boleh diangkat dengan nilai setiakawan, kematangan dan jiwa rakyat yang tulen.

"Apa yang lebih penting, obor perjuangan ini kini disambut oleh generasi muda yang enggan hanya menjadi penonton sejarah, sebaliknya berazam menulisnya semula," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan