KUALA SELANGOR, 25 Jun (Bernama) -- Hutan Simpan Raja Musa di sini dipilih oleh Pasukan Petugas ASEAN mengenai Tanah Gambut (ATFP) sebagai tapak rujukan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan gambut di rantau ini.
Pengerusi ATFP S.R Siva Kumar berkata lokasi itu dipilih susulan kejayaan kerajaan negeri dan pihak berkaitan mentransformasikan kawasan berkenaan yang terjejas akibat aktiviti pembalakan dan pertanian haram kepada antara model pemuliharaan bersepadu yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
"Hari ini, delegasi tujuh negara yang terlibat dalam Mesyuarat ATFP ke-10 antaranya Indonesia, Filipina dan Laos dibawa ke sini untuk kita tunjukkan kepada rakan ASEAN usaha yang dilakukan untuk memulihara hutan gambut.
"Daripada respons yang diterima, rata-rata mereka yang sebahagiannya merupakan pembuat dasar serta saintis menyatakan kekaguman dengan apa yang kita lakukan di sini dan mahu kita berkongsi pendekatan bagaimana memulihara hutan gambut," katanya.
Siva Kumar yang juga Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata demikian ketika ditemui pada lawatan tapak delegasi ATFP ke Hutan Simpan Raja Musa di sini hari ini.
Beliau berkata usaha pemuliharaan hutan gambut merupakan perkara yang perlu diambil berat oleh semua pihak berikutan fungsinya yang luas terhadap alam sekitar khususnya sebagai perangkap karbon.
Malaysia merupakan tuan rumah dan pengerusi bagi Mesyuarat ATFP ke-10 yang diadakan pada 24 hingga 26 Jun di Putrajaya bersempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor Azhar Ahmad berkata lawatan itu juga secara tidak langsung mempromosikan usaha yang telah dijalankan selain dapat memperkenalkan inisiatif dan usaha agensi terlibat dalam usaha pemuliharaan hutan gambut.
"Lokasi ini dipilih kerana Selangor merupakan negeri yang melaksanakan Pelan Pengurusan Bersepadu (IMP) Hutan Paya Gambut yang efektif dan usaha ini memberi impak positif kepada kerajaan Selangor.
"Selain itu, lokasi ini juga merupakan antara landskap kajian bagi projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM): Rehabilitation of Raja Musa Forest Reserve dibiayai Global Environment Facility (GEF) dan Tabung Antarabangsa bagi Pembangunan Pertanian (IFAD)," katanya.
Terletak di Bestari Jaya dekat sini, Hutan Simpan Raja Musa yang diwartakan pada 8 Jan 1990 dengan keluasan 23,486 hektar turut berperanan sebagai hutan pengeluaran, penyelidikan dan perlindungan hidupan liar.
Hutan simpan itu juga pernah mendapat pengiktirafan Queen’s Commonwealth Canopy (QCC) pada September 2017 untuk tujuan kawasan pemeliharaan kepada generasi akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial