Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Shopee Perkasa Komuniti Tempatan Melalui Program Pengambilan Sendiri

24/06/2025 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Platform e-dagang terkemuka Asia Tenggara dan Taiwan Shopee memperkenal Program Pusat Pengambilan Sendiri yang membolehkan pembeli mengambil bungkusan di lokasi berdekatan mengikut masa paling sesuai untuk mereka.

Shopee dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu bukan sekadar penghantaran fleksibel dan menjimatkan tetapi juga membuka peluang pendapatan rakyat Malaysia selain membantu usahawan kecil berniaga dari rumah atau premis sendiri. 

“Dengan lebih 5,000 Pusat Pengambilan Sendiri di seluruh negara, program ini memperkasakan komuniti dan perniagaan setempat dengan menjadikan mereka hab perkhidmatan penting,” menurut kenyataan itu. 

Shopee memaklumkan sebahagian lokasi diuruskan pemilik rumah atau peniaga kecil dikenali sebagai Pengurus Pusat Pengambilan Sendiri dengan mereka menerima bayaran bagi setiap bungkusan yang diambil dari lokasi mereka.

“Ia merupakan cara mudah tetapi berkesan untuk menjadikan ruang harian sebagai sumber pendapatan tambahan yang stabil dan menyokong ekonomi setempat,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah dikenali sebagai Rita dari Lembah Klang berkata beliau dapat menyesuaikan diri mengurus bungkusan sambil mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dalam tempoh dua minggu selepas mengendalikan Pusat Pengambilan Sendiri di rumahnya sejak Mei.

Rita berkata beliau sudah biasa mengendalikan bungkusan pelanggan kerana pernah bekerja di sebuah stesen minyak yang turut menjadi Pusat Pengambilan Sendiri namun terpaksa mencari alternatif bekerja dari rumah selepas berhenti disebabkan masalah kesihatan.

“Sebagai Pengurus Pusat Pengambilan Sendiri, saya dapat menjana pendapatan dari rumah sambil menjaga anak dan suami. Kerja ini fleksibel dan saya selesa dengannya. Lebih bermakna kerana komuniti juga percaya dan menyokong,” menurutnya dalam kenyataan sama. 

Rumah Rita kini menjadi antara hab komuniti yang sangat dipercayai dengan lima hingga 10 bungkusan dikendalikan setiap hari dan bercadang menambah baik operasi melalui pembelian rak penyimpanan dengan hasrat membuka Pusat Pengambilan Sendiri khusus pada masa akan datang.

Sementara itu, Aishah yang bekerja sendiri pula berkata beliau mengambil peluang menyertai program itu selepas dicadangkan oleh kakaknya sebagai cara mudah menambah pendapatan keluarga kerana ibu bapa mereka sudah bersara.

Wanita itu berkata beliau menguruskan kebanyakan bungkusan manakala kakak dan ibu bapa akan membantu apabila diperlukan, menjadikan program itu bukan hanya menambah pendapatan malah turut mengeratkan hubungan keluarga.

Mereka kini bercadang menjadikan sebuah bilik di rumah sebagai ruangan khas supaya bungkusan dapat disusun dan diuruskan dengan lebih cekap. 

Di Kelantan, usahawan kuih Cik Siti pula berkata jualan kuih sejuk beku di kedainya meningkat sehingga 50 peratus selepas beliau menjadikan premis itu sebagai lokasi pengambilan barangan sehingga terpaksa menambah pekerja. 

Shopee memaklumkan bermula 9 Jun, pembeli boleh menikmati baucar penghantaran percuma tanpa perbelanjaan minimum apabila memilih pusat pengambilan berdekatan dengan keterangan lanjut boleh didapati di https://shopee.com.my/m/free-shipping-deals

“Sama ada membantu pendapatan isi rumah seorang ibu, mengeratkan kerjasama keluarga atau menyokong perniagaan mikro tempatan, setiap pesanan yang diambil melalui Pusat Pengambilan Sendiri memberi impak yang besar kepada rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan