Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TPM, Menteri Kabinet Ucap Takziah Kepada Premier Sarawak Atas Pemergian Isteri

23/06/2025 12:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet merakamkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pemergian isteri beliau, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat Premier Sarawak serta rakyat negeri itu.

"Pemergian insan tercinta yang telah menjadi teman hidup setia, pendamping dalam suka dan duka serta penyokong utama dalam perjalanan kepimpinan YAB Premier pastinya satu kehilangan amat besar dan mendalam.

"Allahyarham yang saya kenali adalah seorang wanita lemah lembut, penuh budi pekerti serta amat dekat dengan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, khususnya dalam memperkasakan wanita dan komuniti di Sarawak," katanya.

Beliau berkata kehilangan Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh keluarga terdekat, malah turut diratapi seluruh rakyat Sarawak yang amat menghargai jasa dan sumbangan beliau selama ini.

“Saya mewakili Kerajaan Persekutuan hadir pagi ini menziarahi keluarga YAB Premier Sarawak, menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan solidariti serta doa seluruh warga Malaysia atas kehilangan yang amat dirasai ini.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Semoga YAB Premier dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan serta reda dalam menghadapi saat yang penuh ujian ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi catatan di laman Facebook turut menyampaikan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai kehilangan besar buat rakyat Sarawak.

"Ia satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarga Almarhumah tetapi juga seluruh rakyat Sarawak. Salam takziah kepada YAB Premier dan seluruh ahli keluarga Almarhumah," katanya.

Dalam pada itu, beberapa menteri Kabinet turut menzahirkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak serta keluarga menerusi kenyataan dan hantaran di media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi Facebook turut mendoakan agar Abang Johari sekeluarga dikurniakan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini.

“Doa kami sentiasa mengiringi Tan Sri. Semoga Allah SWT menerima segala amal soleh Allahyarham, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu juga menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar, bukan sahaja buat keluarga, malah kepada negeri Sarawak.

"Saya mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga YAB Premier dan seluruh keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi saat penuh hiba ini," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menerusi Facebook menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh wanita berpengaruh dan penyokong kuat kepimpinan Premier Sarawak.

"Allahyarham, yang berusia 76 tahun, merupakan seorang tokoh wanita yang tenang namun berpengaruh, sentiasa menyokong kepimpinan YAB Premier dalam senyap tetapi penuh kekuatan.

"Di sebalik kejayaan besar seorang pemimpin, berdirilah seorang isteri yang cekal dan setia, yang memainkan peranan besar dalam membentuk kekuatan keluarga serta menyumbang kepada keharmonian masyarakat," katanya.

Nancy berkata sifat keibuan, ketokohan dan kelembutan Allahyarham dikenang bukan sahaja dalam lingkungan keluarga, tetapi juga oleh rakyat Sarawak yang pernah menerima sentuhannya secara langsung atau tidak langsung.

Turut merakamkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Juma’ani, 76, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada 3.34 pagi.

Allahyarham merupakan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak kedua Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman.

Penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek Negeri pada 10 pagi hingga 12 tengah hari ini, sebelum pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya, Kuching.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan