NILAI, 22 Jun ( Bernama) -- Jemaah haji yang menjadi mangsa penipuan pakej haji baru-baru ini, berharap kejadian yang menimpa mereka tidak akan berulang dan tiada sesiapun akan melalui pengalaman yang sama.
Menurut pesara kerajaan yang mahu dikenali sebagai Syarifah, dia tidak menyangka impiannya bersama kakak dan abang ipar untuk menunaikan haji tidak kesampaian apabila rombongan mereka dan jemaah lain dihalang masuk ke Makkah kerana tidak memiliki visa haji.
Wanita berusia 57 tahun berasal dari Batu Pahat Johor Bahru itu berkata mereka yang terlibat kebanyakan menggunakan visa pelancongan menyebabkan tidak dibenarkan masuk untuk menunaikan haji.
"Saya nasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sesiapa sahaja yang menguruskan urusan haji walaupun orang itu rakan rapat dan dikenali.
“Kelemahan kami kerana tidak menyemak pihak pengurusan agensi ini terlebih dahulu hanya dengar ‘cakap-cakap’ orang sahaja, sebaiknya kita semak dahulu dengan teliti supaya lebih terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita di Mantin, hari ini.
Meskipun duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis akibat ditipu pakej haji itu, namun tetap tidak berputus asa dan sentiasa berdoa supaya ada rezeki untuk menunaikan haji di bawah Tabung Haji suatu hari nanti.
Sementara itu, Said, 62, berkata mereka bernasib baik tidak dibiarkan sendirian di tengah padang pasir dan semak belukar, namun pengalaman terpaksa memanjat beberapa bukit berpasir yang curam dalam keadaan gelap semasa berada di Jeddah masih tidak dapat dilupakan sehingga sekarang.
"Kalau diingatkan semula memang tidak sangka kaki ini ada kekuatan untuk panjat turun bukit, seperti pergi 'hiking', kami dibiarkan jalan sendiri dengan ditemani orang Arab di sana, tanpa mutawif. Saya juga harap tiada mangsa lain lagi yang menerima nasib sama dengan kami.
“Jadikanlah cerita kami ini sebagai pengajaran buat semua, pergilah dengan mengunakan agensi berdaftar dan mendapat pengiktirafan daripada Tabung Haji sahaja," katanya yang bersyukur dia dan isteri dikenali Nora, 63, selamat pulang ke tanah air
Terdahulu, media melaporkan hasrat sekumpulan 47 jemaah dari Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tidak kesampaian selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Ketiga-tiga mangsa ini mengalami kerugian RM81,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial