Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KK Bukit Beruang Tawar Kursus Ukiran Ais, Tarik Minat Golongan Muda

21/06/2025 08:28 PM

ALOR GAJAH, 21 Jun (Bernama) -- Seni ukiran ais sering menjadi tarikan utama majlis rasmi, perkahwinan eksklusif atau pelancaran produk bagi memberi sentuhan visual unik dan memukau selain dilihat sebagai lambang kemewahan. 

Walaupun permintaan seni itu dalam industri hospitaliti sentiasa tinggi, pensyarah kulinari Kolej Komuniti (KK) Bukit Beruang Mohd Farid Yusoff berkata jumlah pengukir ais profesional di negara ini tidak ramai sehingga mereka sentiasa menjadi rebutan. 

“Pengukir ais profesional di Malaysia tidak sampai 10 orang dan kita perlu berusaha melahirkan lebih ramai individu mahir dalam bidang ini bagi memenuhi pasaran selain untuk menjadi pelapis kepada pengukir ais ternama Malaysia yang mewakili negara pada pertandingan dunia,” katanya. 

Berbeza dengan negara luar yang mempunyai platform latihan dan pertandingan rasmi untuk pengukir ais, beliau berkata Malaysia belum memiliki kemudahan itu walaupun terdapat ramai pengukir berpotensi termasuk mereka daripada bidang kulinari institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Beliau yang ditemui pemberita pada Cabaran Masakan Melaka 2025 di sini hari ini, berpandangan bahan mentah dan kos peralatan seperti mesin pemotong ais dan bilik beku mungkin menjadi penghalang institusi pengajian untuk menawarkan kursus ukiran ais.

“Disebabkan itu, KK Bukit Beruang mengambil inisiatif menawarkan kursus jangka pendek berkaitan ukiran ais peringkat sijil bagi menarik lebih ramai golongan muda menceburi dan mendalami kemahiran ini. 

“Kita cuba mempopularkan seni ukiran ais kerana ini juga sebahagian cabang TVET selain mampu memberi pendapatan lumayan,” katanya. 

Sementara itu, pengukir ais profesional Muhammad Farhan Abd Rahim, 28, berkata usaha perlu dilakukan untuk mendedahkan kerjaya sebagai pengukir ais supaya setanding dengan seni ukiran lain seperti pengukir kayu dan logam.  

Berpengalaman selama enam tahun di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Muhammad Farhan mengakui bidang itu mempunyai cabaran tersendiri termasuk memerlukan kesabaran, perlu bekerja dalam suasana sejuk beku dan ada kalanya ukiran tidak menjadi seperti diharapkan. 

“Saya percaya ramai berminat dengan seni ukiran ais tetapi tidak tahu di mana hendak belajar. Jadi, pertandingan seperti hari ini memberi pendedahan dan membolehkan mereka melihat bagaimana kemahiran melukis boleh dipindahkan ke bongkah ais untuk menjadi ukiran menarik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan