Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AADK Perlu Pendekatan Bersepadu Tangani Ancaman Dadah Baharu

20/06/2025 08:47 AM

KOTA BHARU, 20 Jun (Bernama) -- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kini berdepan dengan cabaran yang semakin kompleks dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah susulan kemunculan bahan psikoaktif baharu serta peningkatan ketara penggunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) dalam kalangan remaja dan belia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata cabaran ini memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu merangkumi aspek pendidikan, kesedaran awam, rawatan, pemulihan serta pemerkasaan komuniti tempatan.

"Statistik terkini sehingga Mac 2025 menunjukkan sebanyak 108,409 penagih dadah atau penyalahgunaan bahan terlarang dikesan di seluruh negara, iaitu penurunan sebanyak 10.5 peratus berbanding 121,170 kes bagi tempoh sama pada 2024.

“Di Kelantan pula, data menunjukkan penurunan sebanyak 5.4 peratus iaitu 11,280 orang berbanding 11,928 penagih dadah serta bahan terlarang bagi tempoh sama tahun sebelumnya," katanya pada sidang media selepas Program Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama AADK dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), di sini malam tadi.

Shamsul Anuar berkata kadar penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di Kelantan adalah sebanyak 597 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 632 orang bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata kategori dadah utama di Kelantan adalah jenis ATS dengan 89.3 peratus atau 10,071 orang bagi tempoh hingga Mac 2025 manakala jenis kedua tertinggi ialah Opiat iaitu 6.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di negeri itu.

Shamsul Anuar berkata trend menurun ini adalah hasil langkah pencegahan bersasar dan meluas oleh AADK termasuk penutupan ‘lubang tikus’ yang menjadi laluan haram aktiviti penyeludupan dadah dan bahan terlarang oleh PDRM khususnya di kawasan sempadan negara di Kelantan.

“Melalui data ini, ia menunjukkan perkembangan positif bagi tempoh suku pertama tahun ini. Namun begitu, kita tidak boleh selesa kerana masih terlalu awal untuk menganggap situasi penagihan dadah dan bahan terlarang berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata isu penyalahgunaan dadah bukan lagi ancaman biasa tetapi telah menjadi krisis sosial dan kesihatan awam yang kian meruncing, 

Menurutnya, dalam dunia semakin kompleks dan pantas berubah, cabaran baharu muncul saban hari daripada akses mudah kepada bahan terlarang hinggalah kepada pengaruh media sosial yang mengubah persepsi masyarakat terhadap bahaya dadah.

“Golongan muda yang seharusnya menjadi tulang belakang pembangunan negara, kini semakin terdedah dan terperangkap dalam kitaran penyalahgunaan dadah yang membinasakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan penguatkuasaan dan pencegahan terus diperhebat bagi memastikan isu ini dapat dibendung secara menyeluruh dan berkesan.

Shamsul Anuar berkata bagi merealisasikan hasrat berkenaan, kerjasama strategik dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri, institusi pendidikan, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya PEMADAM akan terus dipertingkatkan.

"AADK juga komited untuk memperkasakan peranan PEMADAM kerana melihat potensi besar mereka sebagai suara pendesak yang mampu menggerakkan masyarakat untuk bersama-sama menolak ancaman dadah dari peringkat akar umbi.

“Saya percaya, sinergi sedia ada antara AADK dan PEMADAM boleh dipertingkatkan dan diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif strategik. Dengan adanya pendekatan lebih segar dan digerakkan secara bersama mampu menjadi pelengkap kepada usaha pencegahan dan pemulihan dadah, khususnya dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata setiap langkah mesti diselaraskan dengan data, pendekatan saintifik dan panduan strategik yang dibangunkan oleh AADK supaya segala usaha dijalankan tidak bersifat sementara, tetapi berstruktur dan memberi kesan jangka panjang.

Pada 18 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kebimbangan terhadap gejala penyalahgunaan dadah dan rokok elektronik atau vape dalam kalangan belia khususnya anak muda Melayu.

Beliau dilapor berkata situasi itu kian membarah dan memerlukan penyelesaian menyeluruh melibatkan pelbagai pendekatan termasuk kaunseling dan dakwah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan