LUMUT, 13 Jun (Bernama) -- Membaca al-Fatihah merupakan rukun solat, namun masih ada dalam kalangan umat Islam tidak menyedari bahawa kesalahan sebutan dalam surah berkenaan boleh menjejaskan kesempurnaan ibadah fardu itu.
Prihatin terhadap kepentingan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil inisiatif mengadakan sesi semakan bacaan al-Fatihah sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront, bagi memberi peluang kepada orang ramai menilai ketepatan bacaan masing-masing.
Penolong Pensyarah Darul Quran JAKIM Mohd Husni Shafii berkata semakan secara bersemuka itu bertujuan membantu umat Islam mengenal pasti kesalahan kecil mahupun besar dalam bacaan, berdasarkan Rasm Uthmani yang lazimnya digunakan di negara ini.
"Antara kesalahan lazim termasuk sukar menyebut huruf ḍad (dod) dan mereka menukarnya kepada huruf dal. Ini adalah kesalahan besar apabila menukar huruf yang betul kepada huruf lain," katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Husni turut berharap supaya inisiatif JAKIM ini dapat terus dimanfaatkan orang ramai dalam kehidupan seharian selepas mengenal pasti kesilapan yang dilakukan mereka dalam bacaan surah al-Fatihah.
“Saya harap selepas ini mereka teruskan lagi pengajian al-Quran dengan guru-guru bertauliah," katanya.
Beliau berkata sambutan pengunjung amat menggalakkan dengan lebih 40 orang hadir sejak pagi sekali gus mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memperbaiki bacaan al-Quran, khususnya dalam konteks solat harian.
Sementara itu, seorang pengunjung Norazwani Yahaya, 43, berkata inisiatif berkenaan merupakan pendedahan yang sangat bermanfaat kerana memberi kesedaran kepadanya, selain dapat memperbetul kesilapan yang dilakukan selama ini.
“Hari ini saya dapat semak bacaan al-Fatihah dan baru sedar ada kesalahan dalam bacaan. Saya akan memanfaatkan serta mengamalkan bacaan yang betul dan turut akan mengajar anak-anak,” katanya yang turut memuji kepakaran pembimbing program berkenaan.
Program semakan bacaan al-Fatihah oleh JAKIM merupakan antara aktiviti interaktif yang diadakan di Pentas Mini (Reruai Kementerian, Agensi dan Kerajaan Negeri) sepanjang PMR 2025 Perak yang bermula hari ini hingga Ahad.
PMR 2025 Perak berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad, program akan berakhir pada 6 petang. Waktu operasi reruai perkhidmatan kerajaan adalah dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Bertemakan “Pendidikan Tinggi, Pemacu Negara MADANI”, PMR Perak 2025 menampilkan lebih 200 perkhidmatan secara langsung merangkumi sesi perkongsian ilmu, pameran, pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat serta pelbagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial