Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ribuan Ikan Mati Di Bagan Datuk : JAS Perak Rampas Dandang Di Kilang Belacan

12/06/2025 10:12 PM

IPOH, 12 Jun (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak merampas sebuah dandang di sebuah kilang memproses belacan di Bagan Datuk, susulan kejadian kematian ribuan ikan yang ditemui terapung dalam parit di Kampung Sungai Payung dan Kampung Sungai Tiang Baroh, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata kilang berkenaan disyaki melepaskan air buangan tidak terawat ke dalam sistem saliran berdekatan, yang dipercayai menjadi punca kepada pencemaran tersebut.

“Siasatan lanjut di dalam kilang mendapati terdapat kesan warna belacan kemerah-merahan pada lantai bahagian bawah dandang yang digunakan bagi menghasilkan wap untuk memanaskan serta memasak udang sebelum diproses menjadi belacan.

“Bagi tujuan siasatan, dandang itu telah dirampas kerana dipercayai menjadi punca penghasilan air buangan berwarna kemerah-merahan yang tidak dirawat sebelum dilepaskan ke saliran air, sehingga mengakibatkan kematian ikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, JAS Perak memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan selepas menerima aduan orang awam berhubung kejadian itu pada 12.50 tengah hari, kelmarin.

Teh berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 38(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2024.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu turut dipengaruhi oleh paras oksigen terlarut (DO) yang rendah, iaitu antara 0.13 hingga 0.78 miligram seliter (mg/L), berbanding paras normal sekitar 6.5 mg/L dan ke atas.

“JAS juga akan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan punca kematian ikan daripada hasil persampelan ikan mati oleh Jabatan Perikanan bagi tujuan pengesahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan