Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JBPM Terima 42 Aduan Berkait Integriti

05/06/2025 06:02 PM

KOTA BHARU, 5 Jun (Bernama) -- Unit Integriti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 42 aduan berkaitan dengan integriti membabitkan pegawai dan anggotanya setakat Mei lepas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata sektor salah laku merekodkan kes tertinggi, iaitu sebanyak 22 kes, diikuti sektor salah guna kuasa (lapan kes), skandal atau gangguan seksual (empat kes), penguatkuasaan (empat kes), rasuah (tiga kes) dan penyelewengan (satu kes).

Beliau berkata menerusi sektor salah laku itu ia membabitkan isu displin sebanyak lima kes, gangguan rumah tangga (tiga kes), media sosial (tiga kes), hidup mewah (dua kes), penipuan (dua kes), pinjaman (dua kes), vandalisme (satu kes), cuai dalam menjalankan tugas (satu kes) dan lain-lain lagi (tiga kes).

"Walaupun kita menerima 42 aduan berkait integriti pegawai serta anggota, namun kita di jabatan sangat positif kepada aduan yang dikemukan kerana kita percaya ia satu daripada kaedah untuk mengekang perkara itu daripada terus berlaku.

"Malah, menerusi aduan yang diperoleh, kita dapati hukuman tatatertib yang dijatuhkan kepada pegawai dan anggota menyusut dengan drastik pada tahun ini, iaitu hanya 13 kes berbanding 55 kes pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas “Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah Tahun 2025” di Kompleks Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, di Tanjung Chat, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan. 

Nor Hisham berkata daripada 13 kes tatatertib yang direkodkan sebanyak 11 kes membabitkan ketidakhadiran bertugas berbanding kes paling tinggi sebelum ini, iaitu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pegawai dan anggota.

"Malah, kita juga dapati pada tahun lepas berlaku peningkatan aduan menerusi portal e-aduan serta Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), iaitu sebanyak 95 kes berbanding 87 kes pada 2023.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus adalah aduan dalaman, manakala 40 peratus aduan awam dan sudah diambil tindakan terhadap semua perkara yang dibangkitkan," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan