KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memperkenalkan tiga kategori baharu Anugerah Life at Work 2025 (LAWA 2025) sempena ulang tahun ke-10 penganjurannya bagi mengiktiraf usaha pelbagai pihak memperkukuh amalan tempat kerja progresif dan inklusif di Malaysia.
Tiga kategori baharu tersebut ialah Universiti dan Kolej Masa Depan, Sekolah Masa Depan serta Pemangkin Perubahan.
Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp Wong Shu Qi berkata pengenalan kategori baharu itu bertujuan memperluas pengiktirafan kepada sektor pendidikan yang memainkan peranan penting dalam membentuk bakat masa depan.
“LAWA 2025 bertujuan untuk mendorong perubahan bukan sahaja dengan mengiktiraf usaha kemampanan dan keterangkuman dalam industri. Malah, anugerah ini turut diperluas dengan memberi pengiktirafan kepada sekolah serta universiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LAWA 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Thomas Mathew berkata sejak diperkenalkan pada 2013, LAWA berfungsi sebagai pemangkin kepada organisasi untuk membina budaya kerja yang seimbang dan positif.
“Melalui amalan tempat kerja yang menyokong keseimbangan kehidupan dan pekerjaan, kita dapat meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja, memperkukuh produktiviti serta menyemai budaya kerja inklusif dan mampan,” katanya.
Bertemakan ‘Memacu Inklusiviti, Memperkasa Kelestarian’, sebanyak 13 kategori dipertandingkan dalam edisi LAWA 2025 dengan 33 anugerah ditawarkan termasuk Anugerah Organisasi Terbaik, Juara CEO, Juara CHRO, Wanita di Tempat Kerja & Kepimpinan serta Kelestarian Bakat.
Penyertaan LAWA 2025 dibuka dari 20 Jun hingga 3 Ogos manakala tempoh penjurian berlangsung pada Ogos dan September, sebelum majlis penganugerahan dijadualkan berlangsung Oktober.
Maklumat lanjut dan penyertaan boleh dibuat melalui laman web rasmi di www.lifeatwork.my.
Anugerah berkenaan tidak dianjurkan selama dua tahun semasa penularan COVID-19.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial