Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Catat Sejarah Dipilih Sebagai Presiden UN-Habitat - Nga

31/05/2025 12:28 AM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Malaysia mencatat sejarah apabila dipilih secara rasmi sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerusi hantaran di laman Facebook malam ini berkata Malaysia menerima sokongan sebulat suara daripada kesemua 193 negara anggota dalam pemilihan itu.

“Pengumuman rasmi mengenainya telah dibuat semasa sesi Pemilihan Pegawai Biro dalam Persidangan UN-Habitat di Nairobi, Kenya hari ini,” katanya.

Berpangkalan di Nairobi, Kenya, Persidangan UN-Habitat diwujudkan pada 1975 dan diangkat menjadi program penuh pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2001.

Ia merupakan badan pembuat keputusan global tertinggi mengenai pembandaran lestari dan penempatan manusia yang bersidang setiap empat tahun serta memainkan peranan penting dalam membentuk dasar global untuk bandar dan komuniti.

Sebagai presiden, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Eksekutif UN-Habitat serta rakan kongsi global untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai hala, mempromosikan bandar inklusif, berdaya tahan iklim dan mampan di seluruh dunia.

Ad Banner

Sementara itu dalam ucapannya di persidangan itu, Nga menggesa negara anggota untuk menggandakan usaha bagi melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu.

Beliau berkata ini bagi memastikan pengukuhan multilateralisme dan Agenda Habitat.

"Kami berharap anda akan terus menyokong seruan untuk Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu terutamanya memandangkan 2026 menandakan sepuluh tahun agenda itu diterima pakai di Habitat III di Quito," katanya.

Beliau juga menekankan keperluan untuk bekerjasama selaras dengan prinsip Perkongsian Rakyat-Awam-Swasta (4Ps).

"Kita lebih kuat bersama-sama apabila kita terus berkongsi pengetahuan, memupuk kerjasama dan memastikan tiada sesiapa dan tiada tempat yang ketinggalan dalam dunia yang semakin membangun pesat.

"Sepanjang tempoh saya sebagai Presiden Persidangan, marilah kita memperkukuh UN-Habitat sebagai platform untuk perancangan dan tindakan. Marilah kita memastikan bahawa suara kerajaan tempatan, wanita, belia, masyarakat sivil dan komuniti rentan diambil kira apabila kita membangunkan dasar dan merangka pelan tindakan,” katanya.

Nga berkata satu mesyuarat Biro Bersama akan diadakan di Pulau Pinang, Malaysia di sela Persidangan Menteri-Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Asia Pasifik pada Oktober ini.

“Ini akan memberi peluang kepada biro-biro bersama untuk menilai impak Persidangan dan menyelaraskan sokongan mereka dengan Pelan Strategik UN-Habitat 2026-2029,” katanya.

Selain itu, beliau menambah bahawa Malaysia juga akan memainkan peranan aktif pada sesi ke-13 Forum Bandar Dunia di Baku, Azerbaijan pada Mei tahun depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan