Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

IAEA Laksana Misi Pakar NDT Di Myanmar, Malaysia Sumbang Kepakaran Teknikal

21/05/2025 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Penglibatan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dalam misi pakar Ujian Tanpa Musnah (NDT) yang dilaksanakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Myanmar baru-baru ini, memperlihatkan keupayaan Malaysia dalam menyediakan pakar teknikal bertaraf antarabangsa dalam bidang teknologi nuklear.

Nuklear Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan penglibatan agensi berkenaan dalam misi kali ini, menjadikan Malaysia antara penyumbang aktif kepada keselamatan infrastruktur global berasaskan teknologi nuklear.

Misi pakar yang dijalankan selama lima hari bermula 28 April hingga 2 Mei itu, memberi kesan positif yang signifikan kepada Malaysia dari segi pengiktirafan kepakaran, pendedahan teknikal dan pengukuhan peranan sebagai rakan strategik IAEA.

Kenyataan itu memaklumkan pelancaran misi pakar NDT bagi sektor kejuruteraan awam di Myanmar itu, sebagai sebahagian daripada komitmen antarabangsa untuk keselamatan infrastruktur pasca bencana, susulan gempa bumi yang melanda negara berkenaan pada 28 Mac lepas.

“Misi teknikal itu disertai pakar IAEA berpengalaman iaitu Dr Mohd Noorul Ikhsan Mohamed (Malaysia), Nor Azreen Masenwat (Malaysia) dan Abel Domato Jayo (Sepanyol), serta seorang pegawai teknikal dari ibu pejabat IAEA iaitu Gerardo Maghella Seminario.

“Mereka telah menggunakan pelbagai teknik NDT termasuk Ground Penetrating Radar (GPR), Infrared Thermography, Rebound Hammer, Ultrasonic Pulse Velocity (UPV) dan Rebar Locator untuk menilai keadaan sebenar struktur bangunan yang terjejas akibat gempa,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner

Pendekatan itu membolehkan pemeriksaan menyeluruh tanpa merosakkan struktur asal dan ini penting dalam menentukan tahap keselamatan dan kesesuaian untuk kegunaan berterusan, terutamanya selepas suatu bencana alam.

“Menurut IAEA, misi ini bertujuan mengenal pasti jurang keupayaan tempatan dalam pemulihan pasca bencana, serta memperkukuh keupayaan Myanmar dalam penerapan teknologi NDT selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Penilaian seperti ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan IAEA yang telah dilaksanakan di negara-negara seperti Mexico (2017), Albania (2019), Ecuador (2023), Turkiye (2024) dan Syria (2024),” menurut kenyataan itu.

Nuklear Malaysia memaklumkan penglibatan akademik dan teknikal daripada pelbagai universiti dan agensi tempatan turut memperkukuh matlamat misi, menjadikan kolaborasi itu sebagai model kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran kejuruteraan awam pasca bencana secara efektif dan mampan.

“Misi ini mengukuhkan pentingnya kerjasama rentas negara dalam menangani isu-isu pasca bencana melalui aplikasi NDT.

“Ia membuktikan bahawa penggunaan teknologi yang tepat dan beretika boleh menyelamatkan struktur, warisan serta nyawa manusia, sekali gus memperkukuh solidariti global dalam usaha pembangunan mampan dan pengurangan risiko bencana,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan