Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

N. Sembilan Peruntuk RM150,000 Tingkat Pendidikan STPM Dan STAM

13/05/2025 08:57 PM

SEREMBAN, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan memberi peruntukan tambahan berjumlah RM150,000 sebagai persediaan memperkasakan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata peruntukan tambahan RM100,000 bagi pelajar STPM dan RM50,000 untuk STAM bagi melaksanakan pelbagai program termasuk memperkasakan guru serta pelaksanaan tuisyen rakyat menerusi pihak sekolah.

"Ini dapat membantu meningkatkan pendidikan di negeri ini secara menyeluruh melalui tuisyen rakyat ini ia membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kebitaraan Akademik SPM 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pihaknya membelanjakan kira-kira RM500,000 pada tahun lepas bagi memastikan kecemerlangan dalam peperiksaan menerusi pelbagai usaha termasuk memberi tuisyen dan memantapkan guru terlibat dalam subjek SPM.

Aminuddin berkata bagi memastikan pendidikan negeri ini terus berada pada tahap terbaik, Yayasan Negeri Sembilan mengambil inisiatif melaksanakan tujuh program dalam memantapkan mata pelajaran elektif SPM yang dapat melonjakkan Gred Purata Negeri SPM tahun depan.

Beliau berkata program itu dirancang dengan teliti untuk memastikan murid dan guru terlibat mendapat sokongan terbaik dalam menghadapi peperiksaan SPM 2025 terutamanya mata pelajaran elektif yang memerlukan pendekatan khusus.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri akan melupuskan anjing liar mengikut undang-undang dan prosedur yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Kita akan mengenal pasti kawasan yang terjejas dengan kehadiran anjing liar ini, kemudiannya kita akan tangkap, bawa ke tempat yang ditetapkan dan simpan sehingga tempoh masa tertentu sebelum dilupuskan.

“Bagi tempoh tersebut, jika ada mana-mana individu atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan anjing tersebut mereka boleh mengambilnya, jika tiada kita akan lupuskan mengikut proses dan prosedur yang telah ditetapkan," katanya ketika diminta mengulas mengenai cara pelupusan anjing liar tersebut yang sebelum ini mendapat tentangan hebat beberapa pihak.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sebelum ini kerajaan negeri pernah memberi tanah kepada NGO bagi menguruskan anjing liar dan memandulkan haiwan tersebut namun tindakan itu dilihat tidak berkesan malah semakin banyak di taman perumahan.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan