Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SPRM Bebas, Diberi Sokongan Penuh Untuk Siasat Pegawai KDN - Saifuddin Nasution

13/05/2025 02:57 PM

PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa beliau memberi sokongan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam menjalankan tugasnya susulan penahanan dua pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Mengulas mengenai penahanan dua pegawai KDN dalam Op Outlander, Saifuddin Nasution berkata beliau tidak akan memberikan sebarang komen lanjut, selain menekankan kepercayaan terhadap proses siasatan yang dijalankan.

“SPRM ada 25 jam sehari untuk masuk dan menyiasat. Lakukanlah tugas mereka sesuai dengan tanggungjawab mereka,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan KDN, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution menegaskan bahawa pendirian itu adalah prinsip yang dipegangnya secara konsisten sejak awal.

Pada 8 Mei, SPRM dilapor mengesahkan penahanan dua pegawai KDN dan satu orang awam dalam operasi yang dijalankan di Putrajaya.

SPRM dilaporkan memaklumkan bahawa ketiga-tiga individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan, susulan maklumat diterima berhubung kes rasuah berkaitan dengan urusan mempercepatkan permohonan pengesahan taraf warganegara (PTW).

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata sebarang tindakan terhadap individu yang berdepan tuduhan jenayah termasuk warga asing, akan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang negara.

Beliau berkata bekas rakan kongsi Goldman Sachs daripada Amerika Syarikat (AS) Tim Leissner, sudah ada pendakwaan sebelum ini di bawah Financial Monetary Act dan Notis Merah.

"Kalau ada satu tuduhan ke atas seseorang, kita lakukan ikut lunas hukum negara. Kita negara berdaulat. Oleh kerana dia (Leissner) merupakan warga asing, maka sudah tentu kita gunakan saluran yang betul dan itulah yang telah dilakukan sebelum ini," katanya.

Pada 7 Mei, Wall Street Journal melaporkan Malaysia memohon ekstradisi ke atas Leissner berhubung peranannya dalam skandal 1MDB.

Kerajaan Malaysia sebelum ini dilaporkan mengemukakan permohonan ekstradisi itu kepada Jabatan Kehakiman AS pada Ogos 2024.

Notis Merah Interpol pada November, meletakkan Leissner dalam senarai amaran untuk ditangkap di hampir mana-mana negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan