DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Ekoran Sentimen Waspada Menjelang Tarikh Akhir Tarif AS

28/07/2025 07:56 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin, apabila para pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati menjelang tarikh akhir rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS) pada 1 Ogos.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.38 mata atau 0.29 peratus untuk ditutup pada 1,529.38 daripada 1,533.76 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 4.29 mata lebih tinggi kepada 1,538.05 dan bergerak antara 1,528.34 hingga 1,539.38 sepanjang sesi dagangan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 554 berbanding 420, manakala 488 kaunter tidak berubah, 1,091 kaunter tidak didagangkan dan 43 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada tiga bilion unit bernilai RM2.30 bilion daripada 2.86 bilion saham bernilai RM2.16 bilion pada Jumaat lepas.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI memulakan dagangan minggu ini dengan kedudukan kukuh, mencatatkan kenaikan pada sesi pagi.

Bagaimanapun, momentum itu tidak dapat bertahan sehingga sesi petang, apabila indeks ditutup lebih rendah kerana pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati menjelang tarikh akhir tarif AS pada Khamis.

“Dalam kalangan konstituen FBM KLCI, saham perladangan dan utiliti mendahului kaunter untung, sejajar dengan pandangan mingguan kami bahawa pelabur cenderung kepada sektor yang berorientasi domestik berikutan ketidaktentuan luaran yang meningkat.

“Kami menjangkakan pasaran terus berada dalam fasa tidak banyak berubah dalam jangka masa pendek, sementara menunggu petunjuk seterusnya daripada rundingan perdagangan Malaysia-AS atau sebarang pengumuman baharu berkaitan tarif daripada Presiden AS, Donald Trump,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata pasaran serantau mencatatkan prestasi tidak menentu pada Isnin, dipengaruhi oleh pengambilan untung dan kebimbangan terhadap perkembangan perdagangan global.

Indeks Hang Seng di Hong Kong meningkat 0.68 peratus untuk ditutup pada 25,562.13, Kospi Korea Selatan naik 0.42 peratus kepada 3,209.52, manakala Indeks Straits Times Singapura susut 0.27 peratus kepada 4,249.48, dan Nikkei 225 Jepun merosot 1.10 peratus kepada 40,998.27.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran tempatan ditutup di bawah paras 1,530 disebabkan tekanan jualan pada saat-saat akhir.

Beliau berkata sentimen pasaran kekal hambar apabila pelabur menunggu butiran lanjut berkenaan perbincangan perdagangan antara AS dan China yang dijadualkan bermula di Stockholm lewat hari ini.

Thong berkata Bursa Malaysia masih berada dalam fasa tidak banyak berubah, berlegar sekitar paras 1,530 berikutan ketiadaan pemangkin baharu.

“Buat masa ini, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat kecil antara 1,510 hingga 1,540 mata sepanjang minggu ini. Kami mendapati kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) kekal melebihi RM4,000 satu tan, dan kami percaya ini merupakan peluang untuk mengumpul saham-saham perladangan,” katanya.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM9.54, RM6.75 dan RM6.66. Public Bank susut empat sen kepada RM4.25 manakala Tenaga Nasional turun 24 sen kepada RM13.36. Petronas Chemicals naik lapan sen kepada RM3.61 dan Nestle melonjak RM2.50 kepada RM88.

Dalam kalangan saham paling aktif, Ekovest meningkat empat sen kepada 44 sen, NexG naik setengah sen kepada 53 sen, dan Tanco bertambah satu sen kepada 92.5 sen. Zetrix AI merosot 7.5 sen kepada 83.5 sen, manakala YTL Corporation susut tiga sen kepada RM2.45.

Bagi saham paling untung SAM Engineering and Equipment melonjak 13 sen kepada RM4.20, manakala Fraser and Neave serta Infomina masing-masing naik 10 sen kepada RM29 dan RM1.10.

United Plantations merosot 32 sen kepada RM21.90, dan Petronas Dagangan susut 26 sen kepada RM21.44, mendahului senarai saham rugi.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 34.62 mata kepada 11,472.20, Indeks FBMT 100 berkurangan 37.27 mata kepada 11,232.45, dan Indeks FBM Emas Syariah turun 38.94 mata kepada 11,490.04.

Indeks FBM 70 merosot 77.16 mata kepada 16,530.41 manakala Indeks FBM ACE menguncup 2.42 mata kepada 4,636.60.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 28.44 mata kepada 7,463.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.25 mata kepada 157.39, dan Indeks Tenaga menambah 0.94 mata kepada 740.79, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 45.86 mata kepada 17,408.37.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.67 bilion unit bernilai RM2.03 bilion daripada 1.26 bilion unit bernilai RM1.85 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.01 bilion unit bernilai RM161.01 juta daripada 1.28 bilion unit bernilai RM218.03 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 323.13 juta unit bernilai RM106.95 juta daripada 313.89 juta unit bernilai RM90.97 juta sebelumnya.

Saham produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 236.86 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (218.34 juta), pembinaan (182.64 juta), teknologi (469.30 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (63.27 juta), hartanah (170.58 juta), perladangan (13.29 juta), REIT (15.88 juta), dana tertutup (900), tenaga (110.48 juta), penjagaan kesihatan (42.84 juta), telekomunikasi dan media (33.72 juta), pengangkutan dan logistik (39.83 juta), utiliti (71.07 juta), serta amanah perniagaan (27,000).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan