JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tumpas Sindiket Proses, Edar MDMA Libat Rampasan Lebih RM2 Juta

18/07/2025 05:40 PM

GEORGE TOWN, 18 Julai (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) selepas menahan dua lelaki termasuk warga emas dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.2 juta dalam serbuan di Gelugor di sini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di sebuah kondominium mewah pada 3 petang Rabu.

Beliau berkata dalam serbuan berakhir 2.30 pagi semalam itu, polis menahan lelaki berusia 62 tahun yang mempunyai kepakaran memproses dadah selain merampas 150 peket minuman segera dan sembilan botol plastik pelbagai saiz mengandungi MDMA dengan berat keseluruhan 13,456 gram (g).

“Turut dirampas di kediaman itu, dua biji pil ekstasi dan sebiji pil eramin 5 selain pelbagai peralatan untuk memproses dadah di situ," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata polis kemudiannya menahan suspek kedua berusia 40 tahun yang juga ejen hartanah di kawasan kondominium berkenaan dan kedua-dua lelaki itu dipercayai menjalankan kegiatan memproses MDMA sebelum mengedarkannya di pusat hiburan di sekitar negeri ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu mendapat bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memproses semula dan membungkusnya dalam peket minuman segera pelbagai perisa yang dijual pada harga RM300 setiap satu.

Mohd Alwi berkata sindiket itu dipercayai menyewa kondominium mewah itu sejak tiga bulan lepas dan telah menjalankan kegiatan berkenaan sejak Mac lepas.

"Mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dengan warga emas itu baru sahaja dibebaskan dari penjara hujung tahun lepas," katanya dan memaklumkan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.

Beliau berkata polis turut menyita wang tunai RM1,220 dan dua buah kereta jenis Kia dan Volkswagen Passat yang kesemuanya bernilai RM71,220 manakala kedua-dua lelaki itu direman selama tujuh hari hingga 23 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan