LENGGONG, 30 Jun (Bernama) -- Perak berada di landasan tepat bagi memulihkan sosioekonomi pascapandemik dan merangka pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat menjelang 2030.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata memasuki tahun ketiga pelaksanaan Perak Sejahtera 2030, pelan pembangunan itu menyaksikan perkembangan amat positif dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Sejak dilancarkan pada 15 Jun 2022, sejumlah 108 daripada 272 projek dan inisiatif yang digariskan telah dijayakan, 128 lagi dalam pelaksanaan, manakala 36 lagi di peringkat prapelaksanaan.
"Kerajaan negeri turut mengenal pasti 127 projek baharu untuk disenaraikan dalam Dashboard Perak Sejahtera 2030 bagi tujuan pemantauan dan pelaporan kemajuan secara sistematik," katanya ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri komited mempergiat pembangunan lima nod pertumbuhan ekonomi serta meneroka bidang ekonomi baharu.
Saarani berkata kerajaan negeri turut menggerakkan usaha memperkasakan Perak Sejahtera 2030 dengan meneroka sumber pendapatan baharu, khususnya dalam sektor Ekonomi Biru, Ekonomi Hijau dan Ekonomi Penjagaan bagi merancakkan lagi pembangunan mampan negeri.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan sepanjang tiga tahun ini telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata beberapa petunjuk ekonomi memperlihatkan Perak berjaya bangkit daripada kesuraman akibat pandemik COVID-19.
“Negeri ini pernah berada di ambang kemelesetan apabila merekodkan defisit mencecah RM70 juta, tetapi kita bangkit dengan surplus untuk tiga tahun berturut-turut, termasuklah RM64 juta pada 2023, yang tertinggi dalam sejarah.
“Kadar pengangguran yang menurun kepada 3.9 peratus pada 2024 berbanding 4.7 peratus pada 2021, manakala kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 65.8 peratus tahun lepas dan momentum pertumbuhan ekonomi juga semakin baik memberi keyakinan untuk menjayakan Perak Sejahtera 2030,’’ katanya.
Beliau berkata prestasi kewangan kukuh dan momentum pertumbuhan ekonomi yang baik turut membolehkan kerajaan negeri menambah pelbagai peruntukan kebajikan termasuk menaikkan kadar bantuan kepada golongan memerlukan.
"Kejayaan terbabit disandarkan kepada prinsip kebersamaan dalam pentadbiran serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan rakyat," katanya.
Pada sidang media kemudiannya, Saarani berkata kestabilan politik menjadi tunjang utama dalam memacu kejayaan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Beliau berkata sebarang tindakan sabotaj termasuk penyebaran fitnah oleh mana-mana pihak boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negeri itu.
“Saya ingatkan rakan-rakan termasuk dalam kalangan pembangkang, kita boleh berbeza pandangan tetapi jangan sampai menjejaskan kestabilan,” katanya.
Mengulas mengenai tahap pencapaian pelan berkenaan, Saarani berkata beliau bersyukur dengan kemajuan dicapai, namun tidak mengambil sikap berpuas hati.
“Kita kena sentiasa bersedia berdepan dengan pelbagai situasi tidak menentu dan menambah baik pelan pembangunan terbabit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial