AM

Ilp Kangar Hasilkan Kit Tayar Pancit

23/02/2024 11:49 AM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

KANGAR, 23 Feb (Bernama) -- Empat pelajar semester empat bersama dua pengajar Bahagian Teknologi Pembuatan Pemesinan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar berjaya menghasilkan produk inovasi mengisi angin tayar motosikal pancit pada bila-bila masa dengan pantas dan mudah iaitu Kit Tayar Pancit Kecemasan (EFT-KIT).

Pengarah ILP Kangar Mohd Yusri Mohd Rahim berkata alat itu berfungsi dengan cara memindahkan angin ke dalam tayar motosikal berkuasa rendah daripada asap hasil pembakaran ekzos motosikal.

“Alat ini menggunakan kaedah tenaga boleh baharu iaitu menggunakan kembali gas seperti karbon monoksida dan hidrokarbon hasil daripada pembakaran ekzos untuk terus masuk ke tayar.

“Selain itu, alat ini juga menggunakan semula bahan guna habis seperti aluminium dan keluli lembut hasil projek tugasan amali yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar ini,” katanya ketika ditemui Bernama di ILP Kangar baru-baru ini.

Mohd Yusri berkata alat bersaiz kecil itu memudahkan pengguna menegangkan semula tayar motosikal yang pancit ketika waktu kecemasan sebelum sampai ke bengkel berdekatan bagi membaik pulih tayar. 

“EFT-KIT ini lebih praktikal terutama dari segi ruang penyimpanan yang diperlukan...berbanding pam-pam angin yang sedia ada di pasaran, sekali gus dengan alat ini ia boleh menjimatkan masa, tenaga, ruang dan sumber kewangan pengguna,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menerima surat sokongan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis terhadap produk inovasi itu yang menyatakan EFT-KIT tidak memberikan sebarang pencemaran udara berlebihan ketika pengisian angin tayar melalui alat itu, justeru tidak memberikan kesan buruk kepada alam sekitar.

“Antara ciri-ciri unik EFT-KIT ini ia dihasilkan dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan, kualiti serta keselesaan pengguna serta mesra alam serta proses pengendalian alat ini sungguh mudah dan mesra pengguna serta fleksibel,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Yusri berkata pihaknya berhasrat untuk mengkomersialkan alat itu yang telah didaftarkan dalam Daftar Hak Cipta mengikut Akta Hak Cipta 1987, selain akan ditambah baik mengikut kesesuaian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan