AM

Anwar Lulus Peruntukan Rm1 Juta Untuk Masjid Jamek Tengah Bukit Berapit

16/02/2024 04:23 PM

BUKIT  MERTAJAM, 16 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan RM1 juta kepada Masjid Jamek Tengah Berapit, di sini untuk kegunaan program-program kariah di  masjid berkenaan.

Beliau berkata masjid itu begitu dekat dengannya, terutama ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Timbalan Perdana Menteri, apabila ia sering menjadi lokasi persinggahan untuk beliau menunaikan solat ketika itu.

"Masjid ini mengimbau kenangan kerana ramai guru-guru dan sahabat di sini, kariah masjid pernah maklumkan yang mereka akan tunggu sehingga saya jadi Perdana Menteri untuk merasmikannya kerana ketika pembinaannya saya menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Ketika masjid ini siap dibina saya dipenjarakan, dan selepas keluar (penjara) saya pula ketua pembangkang namun mereka tetap mahu menunggu saya datang rasmi dan alhamdulillah hari ini saya datang sebagai Perdana Menteri,” katanya semasa merasmikan Masjid Jamek Tengah Berapit di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Anwar kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid itu sebelum menyertai kenduri rakyat di perkarangan masjid. 

Sementara itu Pengerusi Kariah Masjid Jamek Tengah Berapit Fakhrul Azman Ali dalam ucapannya berkata masjid itu dibina dengan kos RM2.1 juta pada Januari 1996 bagi menggantikan masjid lama yang didirikan oleh penduduk pada tahun 1927.

Beliau berkata RM1.2 juta daripada kos pembinaan masjid disumbangkan Anwar yang ketika itu bergelar Timbalan Perdana Menteri, manakala baki RM900,000 lagi adalah hasil sumbangan orang ramai.

"Oleh kerana jasa dan sumbangan kewangan Perdana Menteri (Anwar) terhadap masjid ini, maka Jawatankuasa Kariah berharap suatu hari nanti masjid ini akan dirasmikan oleh beliau yang kita sayangi.

"Alhamdulillah, kami merasa amat terharu dan menzahirkan rasa syukur tidak terhingga kerana hasrat kami dimakbulkan Allah dan ia menjadi kenyataan pada hari ini, malah akan kekal terpahat sebagai sejarah kepada masjid kami," katanya sambil menambah masjid itu mula digunakan untuk solat Hari Raya Aidil Adha pada 1997.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan