Oleh Rohana Nasrah
KOTA KINABALU, 14 Jan (Bernama) -- Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah, di sini, menerapkan konsep BMW iaitu Bersih, Menarik dan Wangi, bagi memastikan tandas sekolah yang telah dibaik pulih sentiasa memberi persekitaran kondusif dan selesa kepada lebih 1,400 pelajarnya.
Jubin berwarna cerah dengan pencahayaan lebih baik di tandas lelaki dan perempuan ditambah dengan hiasan bingkai gambar dan pokok hiasan menyerikan lagi keseluruhan ruangan, selain haruman potpourri mengisi pengudaraan yang amat baik di kedua-dua tandas berkenaan.
Pelajar Tingkatan Lima Hidayatul Hazwani Haidir berkata penambahbaikkan dan pengubahsuaian tandas sekolahnya itu banyak memberi keselesaan kepada pelajar memandangkan sebelum ini beberapa pam tandas dan pintu mengalami kerosakan, selain masalah pili air yang menyebabkan pengaliran air tidak lancar.
“Keadaan tandas ketika ini jauh berbeza berbanding dahulu. Tandas sekarang lebih bersih dan nampak ceria. Sangat selesa. Semua kemudahan dalam tandas boleh digunakan. Disebabkan tandas wangi inilah pelajar lagi bersemangat menjaga kebersihan tandas,” katanya kepada Bernama.
Ahyar Ikhtisyam Mohd Zuki, 17, turut berpendapat suasana tandas sekolah yang bersih dapat memupuk disiplin pelajar untuk sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab menjaga kebersihan seterusnya mengekalkan keceriaan tandas.
“Apabila tandas sudah dibaik pulih ia memberi motivasi kepada pelajar menjaganya dan kebarangkalian tandas rosak sangat rendah. Pelajar akan bersemangat untuk ke sekolah sekiranya ada tandas yang bersih kerana kebersihan adalah perkara penting,” katanya yang melihat tandas sekolah itu bagaikan ‘tandas hotel’.
Seorang lagi pelajar Nur Haszarratul Heezwin Hamka, 17, berharap para pelajar dapat menghargai seterusnya menjaga tandas yang telah dibaik pulih dengan sebaiknya agar ia dapat memberi manfaat kepada semua warga sekolah.
Pemangku Pengetua SM Maktab Sabah Samsiah Almalek berkata kebersihan tandas sekolah adalah penting kerana ia mencerminkan imej serta keterampilan para pelajarnya.
Dalam pada itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Zunaidah Zakarian berkata SM Maktab Sabah memanfaatkan peruntukan RM70,000 daripada kerajaan Persekutuan dengan memulakan kerja baik pulih tandas bermula pada September tahun lepas dan siap empat minggu kemudian.
Guru SM Maktab Sabah Hui Ying Ying yang bertanggungjawab menyelaras aspek kebersihan sekolah pula berkata pihaknya menyediakan jadual pembersihan dan borang bagi merekodkan sebarang kerosakan tandas.
Katanya ini bagi memastikan setiap petugas sentiasa memastikan tandas berada dalam keadaan bersih, selain menasihati pelajar agar berhemah semasa menggunakan kemudahan asas itu yang sudah dibaik pulih, lengkap dan cantik.
Bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah Mohammad Arif Tun Sakaran, usaha kerajaan memberi peruntukan bagi membaik pulih tandas sekolah merupakan inisiatif baik kerana tandas bersih dapat menggalakkan pelajar untuk datang ke sekolah.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Jabatan Pendidikan Sabah Zamlee Sabanah berkata pihaknya menjangkakan kerja-kerja membaik pulih tandas sekolah di seluruh negeri dapat disiapkan dengan sempurna pada penghujung bulan ini.
Beliau berkata sebanyak 80 peratus sekolah telah menyiapkan kerja-kerja baik pulih itu, manakala 20 peratus lagi masih dalam proses akhir untuk menyiapkan projek tersebut terutama sekolah di kawasan luar bandar.
"Di Sabah terdapat 1,100 tandas sekolah. Sebanyak 603 tandas sekolah diselenggara oleh Jabatan Pendidikan Sabah, manakala selebihnya iaitu 497 lagi diselenggara oleh Unit Penyelarasaan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"Secara puratanya, satu sekolah menerima antara RM70,000 dan sekolah di luar bandar sehingga RM100,000 untuk (membaik pulih) sebuah tandas. Dari segi sambutan, warga sekolah memang mengalu-alukan peruntukan sebegini terutama sekolah daif,” katanya.
Projek penyelenggaraan kecil melibatkan baik pulih tandas bagi 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta bermula pertengahan Julai tahun lepas selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kemudahan tandas bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan