JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Empat Lelaki Cuba Curi Lembu Dengan Menyumbatnya Dalam Kereta

08/01/2024 06:39 PM

KUANTAN, 8 Jan (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki yang cuba mencuri dua ekor lembu dengan menyumbat haiwan itu ke dalam kereta Proton Wira Aeroback, selepas kenderaan itu terbabas di jalan utama Mempaga-Lebu, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata lembu itu dipercayai dicuri dari sebuah ladang sawit di Krau 4, Raub, berdasarkan tanda di telinga haiwan itu.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, ada penternak mendakwa terlihat kereta itu di tepi jalan berhampiran ladang berkenaan, dan semasa didekati kenderaan itu terus memecut laju.

“Kereta itu terbabas berhampiran dengan tapak pasar malam di Mempaga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd Shahril berkata empat lelaki berusia antara 23 hingga 31 tahun ditahan, dan seorang daripadanya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dekat sini untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan.

Beliau berkata tiga daripada suspek didapati positif dadah, dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan curi yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan